Setiap kisah dan cerita ini adalah hasil nukilan penulis sendiri dan koleksi cerpen yang terdapat di dalam simpanan yang ditulis oleh penulis lain. Setiap cerita adalah hak milik penulis dan sebarang ciplak adalah tidak dibenarkan. Cerpen ini aadlah untuk koleksi simpanan dan bahan bacaan sahaja.

Thursday, 10 November 2011

Aku Ke Yang Bercinta Atau Kucing Aku....?


Oleh : Iman Kyuhee

“Eeii… benci! Benci!” jerit aku sambil memasamkan muka. Aqilah menoleh. Dia mengerutkan dahinya.
“Apa yang kau benci ni?” soal Aqilah hairan.
“Mamat sebelah tulah!” kata aku sambil memuncungkan mulut. Rasa geram masih tidak hilang apabila mengingatkan peristiwa tadi.
“Hah! Kenapa dengan mamat sebelah tu?” Aqilah mengangkat kening.
“Hisy! Ada ke patut dia baling selipar kat kepala aku? Mamat hampeh betul!” dengusku geram. Aku mengepal-ngepal penumbuk, seolah-olah mahu menumbuk mamat hampeh itu.
“Iya ke? Hahah! Kelakarnya!” Aqilah sudah tergelak-gelak. Mata aku terbeliak memandangnya.
“Hotak kau kelakar!” sergah aku membuatkan Aqilah terdiam.
“Alah, itu pun nak marah! Lagipun, tak baik gaduh-gaduh. Nanti kahwin baru tahu!” kata Aqilah membuatkan mulutku tercebik sendiri.
“Tak hingin aku dengan mamat hampeh tu. Kau ingat aku nak sangat ke dengan dia?” Geramku masih bersisa. Aqilah hanya tersengih.
“Okay. We’ll see that!”
****************************************
“Ish, kucing mana pulak yang masuk rumah aku ni? Tompok ni ada skandal agaknya!” bisik aku sendirian apabila ternampak Tompok sedang bermadu kasih dengan seekor kucing betina.
“Lia! Kucing siapa yang kau bawak balik tu? Tak sangka aku, kucing pun ada hubungan sulit rupanya!” kata Aqilah membuatkan aku geram sendiri. Pantas aku mengetuk kepalanya.
“Hotak kau hubungan sulit! Kucing pun macam kita jugak. Dia pun nak ada anak. Apalah!” Aku menjeling. Aqilah menggosok-gosok kepalanya.
“Ish, aku tahulah! Tapi tak payahlah ketuk-ketuk kepala aku! Sakit tahu tak!” marah Aqilah. Aku buat selamba. Seolah-olah tidak takut dengan Aqilah.
“Dah. Aku nak kau halau kucing betina tu. SE-KA-RANG!” kataku satu per satu. Aqilah mencebik mendengarnya.
“Amboi! Banyak cantik! Tu kucing kau ke kucing aku ni?” Aqilah menjegilkan matanya kepadaku.
“Ye, aku tahulah tu kucing aku! Aku nak masak special hari ni. Kau nak kan? Kalau kau nak, pergi halau kucing betina tu dulu,” arahku dengan selamba. Muka Aqilah terpamer tidak puas hati.
“Huh! Saja aje umpan aku dengan makanan special kau tu!” kata Aqilah dengan muka cemberut sambil beredar ke ruang tamu. Aku sudah tergelak-gelak. Kesian pulak dengan Aqilah sebab aku buli dia. Heh.
****************************************
“Kenapa ni Qilah? Termengah-mengah aje kau ni?” soalku sambil mengangkat kening. Aku sedang menghidangkan nasi pataya di atas meja. Bau enak itu menyelerakan seleraku pada pagi itu.
“Lia! Kau tengoklah apa yang kucing kau buat!” Aqilah menunjukkan lengannya. Mata aku terbeliak.
“Macam mana boleh kena calar ni? Panjangnya!” Aku segera mencapai lengannya yang bercalar sepanjang 5 sentimeter.
“Kucing kau marah sebab aku halau awek dia!” adu Aqilah. Aku sudah terdiam. Ish, kucing aku ni memang dah kemaruk! Sanggup dia cakar tangan Aqilah! Ish, ish, ish! Apa nak jadilah kucing zaman sekarang ni!
“Jom pergi klinik!” Aku sudah menarik tangan Aqilah. Aqilah terpaksa menurut.
******************************************
“Noor Aqilah Suraya!” Apabila terdengar nama Aqilah dipanggil, aku turut bangun.
“Eh, kau nak pergi mana ni?” soal Aqilah pelik.
“Nak pergi mana lagi? Pergi teman kaulah!” kata aku sambil tersengih.
“Eh, kau ingat aku ni budak kecik ke, nak suruh teman-teman?” Aqilah tidak bersetuju denganku.
“Aku ni kawan baik kau! Mestilah aku temankan kau! Itu pun salah ke?” Aku berasa tidak puas hati.
“Memang salah!”
“Tak salah!”
“Salah!”
“Tak!”
“Ya!”
“Tak!”
“Ehem!” Terhenti seketika perbalahan kami berdua. Serentak, kepala kami ditolehkan ke belakang.
“Kau?!” jerit aku dan lelaki itu. Aqilah terpinga-pinga.
“Oh, awak pemilik klinik ni ke, Ikmal?” soal Aqilah sambil tersengih.
“Ya, ni klinik saya.” Pernyataan Ikmal itu sudah membuatkan mulutku terlopong. Pergh! Muda-muda lagi dah ada klinik. Hebat betul!
“Tutuplah mulut tu. Kau nak kucing masuk dalam mulut kau, baru kau sedar ke?!” sergah Ikmal membuatkan aku terkulat-kulat sendiri. Ceh! Hampeh betul mamat ni! Sesedap mee goreng dia aje nak sergah-sergah aku!
“Qilah! Aku balik dululah!” Aku sudah berura-ura mahu meninggalkan Aqilah dan Ikmal.
“Eh, nantilah dulu!” Aqilah sudah menarik-narik tanganku.
“Apa dia? Tadi kau sendiri yang kata aku tak payah temankan kau!” kata aku sambil menarik muka empat belas.
“Aku ubah fikiranlah pulak. Please, temankan aku!” rayu Aqilah lagi.
“Aku tak nak!” tegas aku lagi.
“Please…”
“Aku cakap aku tak nak kan?” Aku menjegilkan mata kepada Aqilah. Ish, Aqilah ni! Macam tak faham bahasa aje.
“Alah, tolonglah…” Aqilah sudah merengek-rengek. Aku tetap mengeraskan diri.
“Woi! Kawan kau mintak tolong tu! Temankanlah dia! Itu pun susah sangat ke?” Ikmal bersuara sejak sekian lamanya dia mendengar perbalahan kami. Aku menjeling. Ish, sibuk je dia ni!
“Ye la. Ye la. Aku temankan kau!” Aku akhirnya mengalah. Aqilah sudah bersorak riang. Dahiku berkerut. “Aii… tu pun nak suka ke?”
Aqilah tidak menjawab, sebaliknya hanya tersengih.
***********************************************
“Macam mana lengan awak ni boleh calar Aqilah?” soal Ikmal sambil meletakkan ubat ke lengan Aqilah. Aku lihat, muka Aqilah berkerut-kerut menahan rasa sakit. Maafkan daku, kawan!
“Kucing Lia tu haa. Dia marah saya sebab saya halau awek dia,” kata Aqilah sambil mengerling ke arahku yang sedang duduk di atas sofa.
“Iya ke? Ish, tak pasal-pasal awak jadi mangsa ya!” kata Ikmal, seolah-olah menyindir aku. Aku mengetap bibir perlahan. Ada jugaklah yang kena dengan aku nanti.
“Err… tak kena jahitkan?” soal Aqilah, takut-takut.
“Tak. Awak jangan risaulah. Dia punya luka tak berapa dalam sangat. Saya cuma letak ubat aje,” kata Ikmal, membuatkan Aqilah menarik nafas lega.
“Ish, panasnya kat dalam ni! Takde air cond ke?” Sengaja aku mengibas-ngibas tudung yang sedang dipakai.
“Heh! Kau tu yang banyak dosa! Memanglah panas!” sindir Ikmal, memulangkan paku buah keras. Mukaku sudah terasa merah padam. Tak guna betul mamat ni!
“Dah sudah ke belum ni Qilah? Tak tahanlah duduk sini! Eeii… banyak habuk!” Sengaja aku buat terbersin. Konon-kononnya aku menghidapi asma, padahal tak ada pun!
“Eh helo! Aku bersihkan bilik aku ni setiap hari tau! Setiap kali aku datang bilik aku ni, pasti aku sapu lantai, kemas barang atas meja dan banyak lagilah! Kau tengok, tersusun kemas je fail-fail tu kat tempat dia!” kata Ikmal membuatkan aku meluat. Eleh! Menyampah aku dengar!
“Hii… cepatlah sapu ubat!”
“Dah sudahlah onyang!” kata Ikmal membuatkan aku geram.
“Aqilah! Jomlah balik!” Aku sudah bangun meninggalkannya. Aqilah terkial-kial membuntuti aku. Sebelum dia meninggalkan bilik Ikmal, Aqilah sempat mengucapkan terima kasih kepadanya.
‘Hai… berbeza betul dengan kawan baik dia. Tak macam minah sewel tu. Kasar! Tapi comel jugak…’ bisik hati Ikmal sendirian.
*******************************************
“Kau ni asyik masam aje muka. Marahkan aku lagi ke, atau… kau marahkan Ikmal?” Aqilah mengangkat keningnya.
“Geram tau dengan dia! Muka aje hensem, tapi perangai macam hampeh! Memang padanlah tu aku panggil dia mamat hampeh!” kata aku pula. Fuh! Terlepas segala beban di bahu apabila aku meluahkan perasaan yang terbuku dalam hati.
“Ha’ahkan. Dia tu hensem jugak! Tak puas aku pandang muka dia,” kata Aqilah sambil tersengih-sengih. Aku menjeling.
“Jangan nak gatal-gatal sini!” Aku memberi amaran.
“Kau jealous!” Aqilah tersenyum nakal.
“Eh, takde faedahlah aku nak jealous kat kau. Tolonglah!” Aku julingkan mata ke atas. Aqilah mencebik.
“You’re too egoistic!”
“Sejak bila pulak aku ego?” Aku mengangkat kening.
“Yela. Dah kau suka kat orang sebelah tu, kau masih tak nak mengaku. Itu namanya ego!” jawab Aqilah pula. Aku tidak menjawab kata-katanya. Ah, merepek aje!
***************************************
“Pabila kau katakan kau suka aku
Ku terdiam terkedu tak tahu mana nak tuju Oooo
Itulah cinta yang satu
Cinta di muka buku…”

Sempat aku menyanyikan lagu Cinta Muka Buku, nyanyian Najwa Latif. Sememangnya aku amat gemar mendengar lagu itu. Suara pun bukan kemain lagi sedapnya.
“Uii yaii… sedapnya orang sebelah tu nyanyi!” perli Ikmal sambil menjeling ke arahku. Aku mencebikkan bibir geram.
“Hoi orang sebelah! Orang di sini tak suka orang sebelah tu menyibuk kat sini. Lebih baik orang sebelah pergi dari sini, kalau tak, orang di sini akan simbah orang sebelah,” kata aku sambil menjeling tajam Ikmal. Nasib baik ada tembok yang memisahkan kami berdua, kalau tak, tak tahulah Ikmal tu masih selamat atau pun tak.
“Eleh! Ada hati orang sebelah tu nak simbah orang di sini!” Ikmal sudah tergelak sinis. Argh! Sakitnya telinga aku!
Belum sempat aku mahu membalas, aku terasa badanku disiram sesuatu. Basah kuyup semacam. Aku menolehkan kepala.
“Ikmaaalllll!!!!!!” jerit aku kuat apabila menyedari Ikmal telah menyimbah tubuh badanku dengan air paipnya. Tak guna betul mamat hampeh ni!
*******************************************
“Eh, badan kau kenapa basah ni?” soal Aqilah, sewaktu dia bertembung denganku. Aku menarik muka empat belas.
“Mamat hampeh tulah!”
“Ya ALLAH… korang ni asyik-asyik bergaduh. Macam takde kerja lain aje!” Aqilah membebel.
“Aqilah! Aku tensionlah duduk kat sini. Aku nak balik kampung akulah!” kataku sambil mengusik-ngusik rambutku yang basah.
“Hah? Takkan kau nak tinggalkan aku sorang-sorang kat sini? Boringlah aku nanti!” Aqilah mengerutkan dahinya.
“Itu takde masalah! Kita pindah ke kampung aku. Kat situ, ada butik milik mak aku. Bulan lepas baru siap. Haa… sekarang ni, mak aku tengah carik pekerja baru. Apa kata, kita ambik peluang ni?” cadangku bersahaja. Aqilah kelihatan berminat.
“Wau! Okey jugak tu!”
“Okey. Minggu depan kita bekerja kat sana.” Aku sudah tersenyum.
“Tapi, bos kita kasi ke?” soal Aqilah risau.
“No worry. Pasti kasi punya!” Aku memberi keyakinan kepada Aqilah.
“Macam mana kau tau?” Aqilah angkat keningnya.
“Ah, kau jangan banyak tanyalah! Aku tahulah macam mana nak settle hal ni!” kata aku lagi.
“Okey.”
*****************************************************
“Qilah, orang kat sebelah kita ni macam takde kat rumah aje? Dia pergi mana?” soalku, apabila tiba-tiba teringatkan mamat hampeh tu.
“Hmm… tak silap aku, dia pergi ke luar negara selama dua minggu,” jawab Aqilah.
“Hah? Pergi ke luar negara? Buat apa?” Aku terperanjat besar.
“Kerja. Biasalah, doktor!” balas Aqilah, acuh tidak acuh. Aku sudah tidak menjawab. Hmm… kenapa aku rasa kosong erk bila dia takde kat sini? Ah! Apa yang aku merepek ni?
“Barang kau tu dah siapkan ke belum?” soalku apabila ternampak Aqilah masih berlengah-lengah lagi.
“Dah. Ada dekat depan pintu tu. Dah siapkan? Jomlah kita pergi.” Kaki Aqilah menuju ke pintu bersamaku. Kemudian, pintu itu dikunci. Aku melangkah ke kereta Kancil. Sempat aku melihat rumahku yang bakal kutinggalkan. Rumah… aku tak akan pernah lupakan kau. Aku sayangkan kau rumah!
“Woi! Dah-dahlah tu nak jiwang-jiwang sini!” tegur Aqilah sambil menepuk bahuku. Aku tersentak. Tercantas terus lamunanku.
“Okey. Jom.”
“Eh, kejap, kejap!”
“Apa dia?” Keningku berkerut.
“Kau tunggu sini kejap,” kata Aqilah lalu menuju ke rumah sebelah. Aku lihat dia sedang mengetuk pintu, dan muncul kawan baik Ikmal, Saiful. Ish… apa yang Aqilah ni borak-borak dengan Epul ni? Siap bagi surat lagi!
“Woi Qilah! Kau ni tengah bercintun dengan Epul eh?” tebak aku penuh curiga selepas Aqilah datang semula kepadaku.
Aqilah hanya tersengih.
“Ooo… patutlah selalu jeling-jeling kat sebelah bila nak sidai kain!” Aku memerlinya. Aqilah hanya menjelirkan lidahnya.
“Eh, kucing pun kau nak bawak jugak ke?” soal Aqilah.
“Mestilah! Kucing kesayangan aku ni beb!” balas aku pula.
“Tapi dia macam tak nak tinggalkan aje tempat ni. Kau tengoklah, kucing kau siap bercintan-cintun dengan awek dia. Fuh! Jiwang beb!” kata Aqilah sambil tergelak-gelak. Aku hanya mendiamkan diri. Leka memandang dua ekor kucing yang berada di depan mataku. Ish, sedihlah tu nak tinggalkan awek dia!
*******************************************
“Weh, aku tengok orang kat sebelah kita ni macam dah pindah rumah aje? Rumah nampak macam gelap. Kereta pun takde!” Ikmal duduk di atas sofa sambil memicit-micit tengkuknya. Urgh.. sememangnya perjalanan yang memakan masa selama 6 jam tadi amat memenatkan baginya yang baru sahaja pulang ke luar negara.
“Ha’ah. Memang diorang dah pindah pun,” kata Saiful selamba.
“Hah! Serius ke Pul?” soal Ikmal dengan nada yang terkejut.
“Buat apa aku nak tipu. Ni, buktinya!” kata Saiful lalu menghulurkan Ikmal sehelai kertas. Ikmal terus membaca.
Dear Ikmal,
Kalau awak ada perkara yang nak cakap, call me at this number. 012-45****. (Kami berdua dah pindah rumah!) Nak tanya pasal Emilia pun boleh! ;)
Truly from,
Aqilah

“Bila diorang pindah ni Pul?” Ikmal terasa kepalanya berpusing. Hidupnya terasa tidak menentu apabila mendengar khabar itu.
“Lebih kurang dua jam yang lepas,” jawab Saiful.
“Haa… kau tanya aku ni mesti kau rasa sedih sebab diorang pindah kan? Fuyooo… Ikmal dah syok dengan Emilia!” usik Saiful. Ikmal hanya mendiamkan dirinya. Entah kenapa hidupnya terasa gelap.
“Pul, handphone aku mana?”
“Tu!” Mulut Saiful dimuncungkan ke arah meja yang bersaiz sederhana itu. Ikmal mencapai lemah handphonenya. Dia ingin menelefon Aqilah. Beberapa saat, talian sudah disambungkan.
“Helo, Aqilah.”
“Ye, helo.”
“Awak kat mana ni?”
“Encik Ikmal ke ni?”
“Ye, saya.”
“Saya kat kampung Lia ni.”
“Awak buat apa kat sana?”
“Saya tinggal kat sana dengan Lia. Kenapa Encik Ikmal?”
“Apa alamatnya?” soal Ikmal tiba-tiba.
“Hah? Nak buat apa?” Aqilah terkejut.
“Saya nak datang sana!”
“Kenapa pulak?”
“Just give me the adress!” Keras suara Ikmal. Kelam-kabut Aqilah memberi alamat kampung aku kepada Ikmal.
“Aqilah, terima kasih sebab tolong saya. Jangan kata kat Emilia yang saya nak datang ke kampung dia,” kata Ikmal. Aqilah terpinga-pinga.
“Err… okey.” Talian terus dimatikan.
******************************************
DING DONG! DING DONG!
Bunyi loceng di pintu menyentakkan hati Ikmal. Pantas dia bangkit lalu menuju ke pintu rumahnya. Apabila dia membuka pintu itu, matanya sudah terbeliak besar.
“Mama!”
*******************************************
“Mama datang sini nak jodohkan kamu dengan gadis pilihan mama!” kata Datin Kirana sambil menghirup kopi.
“Ma… tak boleh ke bagi Mal peluang? Mal belum bersedia lagilah!” Ikmal sudah berpeluh apabila mendengar kata-kata mamanya.
“No kompromi! Mama tetap dengan keputusan mama!” kata Datin Kirana tegas. Ikmal mengeluh perlahan. Nampaknya, tak jadilah aku pergi ke rumah Emilia.
“Kalau kamu tak pasti lagi, tengok aje gambar ni. Manalah tahu kamu berkenan nanti!” kata Datin Kirana sambil menghulurkan sekeping gambar kepad Ikmal. Ikmal menyambutnya.
“Macam mana? Okey tak?” soal Datin Kirana. Ikmal diam tidak menjawab. Dirinya seperti di awangan.
“Ma, Mal setuju!” kata Ikmal ceria.
‘Aii… kena sampuk agaknya budak ni!’ desis Datin Kirana dalam hati.
******************************************
“Apa ni mak, paksa-paksa orang. Lia ni masih muda tau! Lia masih belum bersedia nak kahwin. Suruhlah Aqilah tu kahwin!” kata aku sambil memuncungkan mulut.
“Ewah! Banyak cantik muka kau!” Aqilah menjegilkan matanya kepadaku.
“Umur kamu dah nak masuk 25 tahun. Hah! Sesuai sangatlah tu nak kahwin!” kata mak aku, Puan Esah binti Malik.
“Tapi, mak…” Aku masih cuba mahu membantah.
“Minggu depan jugak kamu kahwin!” kata mak, membuatkan aku mahu terasa pengsan.
“Ya ALLAH, mak… cepatnya! Persediaan nak kahwin pun belum tersedia, macam mana nak kahwin?”
“Itu kamu jangan risau. Sebenarnya mak dah sediakan semuanya dari bulan lepas lagi!” Terbeliak mata aku mendengar kata-kata mak aku tu. Ish, biar betul mak aku ni!
***********************************************
Dengan sekali lafaz sahaja, aku sudah menjadi isteri orang. Aku terasa ingin menitiskan air mata, namun cepat-cepat aku tahan kerana takut orang terperasankan air mataku nanti.
“Salam tangan suami kamu tu!” arah mak tegas. Lamunanku tercantas. Segera aku mencapai tangannya, lalu dikucupnya penuh kudus. Si dia yang sudah bergelar sebagai suamiku membalas dengan mengucup di dahiku. Aku mengangkat kepala untuk melihat wajahnya. Mata aku terbeliak. Ikmal?!
***********************************************
“Kenapa awak tak cakap yang saya jadi isteri awak?” soal aku sambil berpeluk tubuh. Ceh! Patutlah dia tak nak jumpa aku walau sekali pun!
“Marah ke sayang?” soal Ikmal lalu memeluk tubuhku dari belakang. Bulu romaku terasa menegak.
“Apa ni Ikmal? Lepaskan sayalah! Awak ni menyeramkan tau tak!” Aku sudah gelisah bersamanya.
“Hmm… kalau abang tak nak?” duganya sambil mengucup tengkukku. Menggeletar tubuhku dibuatnya.
“Awak jangan mulakannya Ikmal! Kalau tak, saya backhand awak nanti!” ugut aku. Ikmal ketawa, seolah-olah tidak takut dengan ugutanku.
“Ish, dah kahwin dengan abang pun masih garang.” Ikmal tersengih.
“Sayang nak anak berapa nanti?” soal Ikmal gatal.
“Eh, belum apa-apa lagi dah fikir pasal anak!” Aku menjelingnya. Ish, gatal tak kena tempat!
“Sayang, jom!” ajak Ikmal sambil menarik nakal tubuhku.
“Ish, tak sukalah dengan awak ni!” jerit aku sambil memukul-mukul dada bidangnya. Dan, entah bagaimana kami boleh terpandangkan dua ekor kucing yang sedang bermadu kasih di atas katil kami. Eh, sejak bila pulak Tompok dengan awek dia ni masuk dalam bilik aku?!
“Macam mana pulak Tiara boleh masuk dalam bilik kita ni sayang?” soal Ikmal hairan.
“Kucing betina tu abang punya ke?” soal aku, tanpa sengaja memanggilnya abang. Mata Ikmal tidak berkelip memandangku.
“Ha’ah. Kucing abang,” kata Ikmal. Aku sudah tersenyum sumbing.
“Abang namakan kucing abang, Tiara? Hahah! Abang ni macam perempuan!” kata aku, lebih tepat memerli.
“Apa sayang cakap? Nak kena dengan abang ni!” Ikmal sudah menggeletek pinggangku. Aku terjerit-jerit manja.
“Okey, okey. Lia give up.” Aku sudah mengalah. Automatik, tangan Ikmal terhenti menggeletek pinggangku. Kini, dia memeluk pula pinggangku. Aku tersenyum. Heh, tak sangka pulak yang suami aku ni romantik!
“Tapi kan bang… kita yang bercinta atau kucing kita ni?” soalku sambil memandang wajah Ikmal. Ikmal tersenyum lalu mengucup pipiku.
“Kalau dua-dua?” Mendengar kata-katanya, aku sudah tergelak.
Memang benarlah kata Aqilah. Kalau dulu aku asyik mengadu dengan Aqilah yang aku bencikan dia, sekarang aku seperti dilamun cinta dengannya. Oh Tuhan! Aku betul-betul cintakan Ikmal!



No comments :

Post a Comment