Setiap kisah dan cerita ini adalah hasil nukilan penulis sendiri dan koleksi cerpen yang terdapat di dalam simpanan yang ditulis oleh penulis lain. Setiap cerita adalah hak milik penulis dan sebarang ciplak adalah tidak dibenarkan. Cerpen ini aadlah untuk koleksi simpanan dan bahan bacaan sahaja.

Sunday, 13 July 2014

BIDADARI UNTUK DICINTAI ~CEMPAKA REMBULAN~

cempakarembulan89.blogspot.com

Erica Kim

Nafas aku tarik perlahan. Terasa segar bila udara pagi  merombos memasuki segenap ruang di dalam tubuh ku. Bunyi desiran angin yang bagaikan bersenandung, sesekali menyapa pendengaran. Tapak tangan aku tadah bila titisan dingin mula menyapa wajah.

            “Berdoa kepada Allah dan meminta kebaikan kepada-Nya saat turun hujan. Kerana saat itu termasuk waktu yang mustajab...”
           
Aku larik senyum setelah mendengar kata-kata itu. Tidak perlu menoleh kerana bayangnya tidak akan mampu aku lihat. Tetapi suara itu, lembutnya bagaikan sehelai sutera yang dihamparkan pada tapak tangan. Suara yang mampu memberikan aku ketenangan walau dengan hanya sepatah bicara.

            “Zara Adawiyah.” Aku tersenyum bila pendengaran aku cekap mendengar tawanya yang halus. Zara Adawiyah…Bermaksud puteri penawar. Dan sesungguhnya, dia bagaikan sang penawar yang tuhan turunkan kepada aku untuk menghilangkan setiap galau yang sering menyapa hati.

            “Tak nak masuk ke dalam?”

            “Tak apa. Awakkan ada untuk payungkan saya.”

            “Mana awak tahu?”

            Jelas nadanya bagaikan pelik setelah mendengar kata-kata aku. Tangan aku bawa menyentuh tubuhnya yang berada disisi aku. Setelah itu, aku tepuk perlahan.

            “Tuhan tak benarkan saya melihat melalui mata, tetapi tuhan bagi saya mendengar melalui telinga. Dan tuhan bagi saya tangan untuk menyentuh. Awak nak saya rasa bersalah Adawiyah?” Aku sentuh hidung bila rasa perit mula menyapa. Sedaya upaya aku tahan titisan air mata yang bagaikan mula berlumba mahu menyimbah pipi.  

            “Tak apa. Saya kan kuat.”

            “Saya tahu.” Aku gagau perlahan. Cuba memegang tangannya yang masih utuh memegang payung. Menahan tubuh aku dari disirami hujan. Sedangkan dia pula sudah lecun disimbah mutiara jernih itu

“Jom kita masuk. Nanti awak demam.”

Aku ketap bibir. Masih juga aku yang dia utamakan. Andai kata aku masih bernafas lama, entahkan mampu aku perolehi sahabat seperti dia. Yang pentingkan orang lain melebihi diri sendiri…Yang tidak pernah menjadikan agama sebagai penghalang perhubungan. Yang sentiasa memberikan aku keyakinan, bahawa ada sinar yang akan menanti.



Zara Adawiyah

Wajah putih bersih itu aku pandang tanpa berkelip. Dia antara ciptaan terindah yang pernah Allah hadirkan dihadapan aku. Alis matanya lentik. Hidungnya tidak terlalu mancung. Sempurna dihiasi bibir merah basah yang sentiasa murah dengan senyuman. Tetapi aku tahu, dalam sempurna ciptaan tuhan, akan juga diuji kita dengan sebarang bentuk kekurangan. Dia cantik…Sayangnya, kecantikan itu tidak mampu ditatap oleh tuan empunya diri.

“Awak cantik Erika.” Aku memuji ikhlas. Tidak guna aku menafi andai kata kebenaran terserlah di hadapan mata. Tidak salah aku memuji, asalkan tidak lah juga sampai aku memuja.

“Untuk orang buta macam saya, apa yang cantiknya Adawiyah?” Dia mengeluh kecil. Tangannya pula dibawa menyentuh mata sendiri.

Aku tarik nafas panjang setelah mendengar kata-kata itu. Silap memujikan aku? Tidak…Aku cuma mengatakan apa yang betul. Dia memang gadis yang rupawan.

“Melihat bukan hanya melalui mata. Macam awak kata, Allah masih berikan awak telinga untuk mendengar. Allah juga berikan tangan untuk awak menyentuh.”

“Tapi saya tak boleh tatap wajah orang yang saya sayang Adawiyah.” Dia tersenyum hambar.

Aku sentuh dan genggam tangannya erat. Kemudian aku bawa tangan itu menyentuh matanya sendiri. Bukan hanya dengan kata-kata kita boleh berbicara. Gerak tubuh juga mampu menyampaikan naluri rasa, asalkan kena dengan gaya.

“Pandangan mata ini…telah Allah tutup. Tapi Allah tak pernah tutup pandang kedua ini, untuk awak terus melihat… Melihat bukan hanya melalui mata Erika, tapi awak boleh melihat juga melalui hati.” Aku bawa pula tangannya menyentuh dada. Kali ini aku lihat bibirnya bergetar. Dia bagaikan cuba mengatakan sesuatu. Tetapi kemudian, yang lahir hanyalah senyuman manis yang kembali menghiasi wajahnya.

“Awak tahu Adawiyah…. Awak bagaikan pari-pari untuk saya.”

Tergelak kecil aku mendengar kata-kata itu. Pari-pari? Itu hadirnya melalui kisah dongeng. Pari-pari yang bisa melakukan apa sahaja untuk memenuhi permintaan anak kecil. Dan aku bukanlah sang pari-pari itu. Aku hanya manusia biasa yang entah bila Allah kembali menarikku untuk mengadapnya.

Entahkan mampu sampai esok untukku bernafas. Mungkin juga saatnya bakal tiba sebentar nanti… Tiada siapa boleh melawan takdir yang telah Allah atur dengan sususan yang begitu indah. Ada manis untuk kita senyum, ada pahit untuk kita beringat, ada juga masam untuk kita kenang.

“Adawiyah…” Lanjut suara itu memanggil perlahan namaku. Bagaikan ada sebuah pengharapan yang dipinta disebalik nada itu.

Ada apa Erika?”

“Boleh saya sentuh wajah awak? Saya nak rakam wajah awak, kemas dalam hati saya.”  

Naif kata-kata itu membuatkan aku tersenyum kecil. Sekali lagi tangannya aku sentuh. Kali ini aku daratkan tangan itu pada kedua belah pipiku.

“Apa ni?” Erika sudah berkerut dahi.

“Maaf Erika. Saya terlupa.” Aku tarik perlahan Niqab yang sekian lama menjadi penghalang si mata nakal yang ingin menjamah wajahku. Aku bukanlah wanita cantik. Hanya wanita biasa yang Allah anugerahkan kesempurnaan anggota sebagai seorang manusia.

Ada apa dekat muka awak?”

“Niqab…Purdah.” Aku lihat Erika terangguk. Gayanya bagaikan tahu sahaja apa yang sedang aku katakan.

“Awak tak panas?” Berkerut sedikit dahi itu ketika melontar pertanyaan.

“Saya dah biasa Erika. Mula-mula dulu mungkin panas. Tapi sekarang Allah bagi saya kedinginan.” Pernah aku dikatakan berlebihan ketika pertama kali menyarung Niqab diwajah. Tetapi kenyataannya hanya aku dan Dia sahaja yang mengetahui.

“Saya pernah pakai tudung.”

Terkelu seketika aku mendengar kata-kata Erika. Entah mengapa, sedikit bisikan jahat mula menghasut hati untuk menidakkan apa yang dikata. Seketika aku beristifar….

“Serius?” Aku bertanya meminta kepastian. Tidak mahu lagi meneka yang tidak-tidak.

“Yup. Dulu sebelum saya kemalangan, saya pernah jadi model sambilan. Ada sekali saya jadi model untuk tudung. Tapi sekali saja sebab saya tak tahan panas.” Tenang kata-kata itu meluncur dari bibir Erika.

Aku pula hanya mampu tersenyum. Itulah juga yang pernah aku rasai dulu. Aku pernah rasai bertapa panasnya lilitan itu menjerut leher. Aku juga pernah merasai bertapa rimasnya saat pakaian menutup aurat aku sarungkan ke tubuh.

Tetapi siapa sangka, pakaian yang dulu aku katakan rimas, sudah menjadi pakaian yang membuatkan aku selesa untuk bergerak. Pakaian yang membuatkan aku rasa dihormati sebagai seorang wanita.

“Adawiyah. Terima kasih sebab sudi jadi kawan saya. Dah lebih dua bulan kan kita kenal?”

Kata-kata Erika mematikan lamunanku. Perlahan aku mengiyakan kata-katanya. Bilik yang aku huni, sentiasa bersilih ganti pesakit. Tiada yang kekal. Hanya dua bulan dahulu aku mula mendapat Erika sebagai teman sebilik. Teman yang pada mulanya dingin. Sepatah ditanya, sepatah lah juga dijawab. Ada kalanya sepi tanpa jawapan.

 Aku yang mendengar saat tangisan Erika pecah semasa mula-mula dia hilang penglihatan. Saban malam yang menyapa pendengaran, hanyalah tangisan pilunya yang sesekali diiringi rintihan kerana diduga dengan ujian sebesar itu. Hanya seminggu….Sebelum segalanya kembali pulih.

Ketabahan Erika kadang-kala mengangumkan aku. Walaupun sesekali terselit juga kata-katanya yang bagaikan menyesali takdir yang tersurat, tetapi aku tahu dia lebih kuat dari apa yang aku bayangkan.  

“Dia tak datang hari ni?”

Dia…Tidak mampu aku sembunyikan senyuman mendengar pertanyaan Erika. Dia suami aku. Suami yang sentiasa ada disaat aku perlukan dia. Suami yang tidak pernah kenal erti berputus asa… Suami yang mengajarkan aku erti sebuah ketabahan. Suami yang juga telah mengenalkan aku dengan sebuah kehidupan.

Dia juga suami yang telah aku nafikan haknya. Suami yang tidak dapat aku penuhi fitrahnya sebagai manusia. Suami yang tidak dapat aku layan selayaknya sebagai seorang isteri. Dan untuk semua khilaf itu, aku harapkan keampunan Allah. Sungguh…Bukan pernah aku sengaja…

“Sekejap lagi kot. Dia ada mesyuarat hari ini.”

“Beruntung awak dapat dia sebagai suami.” Selimut Erika tarik ke paras leher. Terus jam aku jengah. Sudah pukul tiga. Waktu yang selalu digunakan Erika untuk berehat. Setiap hari…Rutinnya masih sama. Kadang-kala aku terasa bagaikan dia tidak hilang penglihatan,

Setelah aku lihat Erika bagaikan sudah hanyut di dalam mimpi, pantas aku bangun dan bergerak ke arah bilik air yang terletak di penjuru bilik. Aku buka paip dan perlahan-lahan aku basahkan tangan.

Al-Quran yang lengkap dengan terjemahan aku buka. Tanpa dipinta, kolam mataku mula berair. Dalam bersedia, sungguh aku gementar. Kalaulah ini kali terakhir aku bisa menyentuh kitab suci itu…Kalaulah ini juga terakhir kali aku dapat mengalunkannya, aku pasrah…  
           
“Assalamualaikum sayang.” Terhenti pembacaanku setelah disapa satu suara garau. Aku angkat tangan, tanda menyuruhnya menanti. Sesudah itu aku tamatkan bacaan dan aku bawa kitab suci itu dan kupeluk erat.

            “Waalaikumusalam abang.” Aku tayang senyuman Tangan aku hulurkan kepadanya untuk bersalaman. Saat aku angkat kepala, sebuah kucupan menyapa dahiku.

            “Sihat hari ini?”

            Tangan kasar itu cekap sahaja menyapa dahiku, sebelum turun perlahan-lahan masuk dibalik tudung yang menutup auratku. Kali ini tangannya menyapa pula leherku.

            “Adawiyah demam ke?”

Gusar suara itu menyapa pendengaranku. Terharu yang menyapa membuatkan tubuh sasanya aku paut erat. Dia jelas tergamam melihat tingkahku. Lama…Barulah pelukanku kembali dibalas.

Setelah itu tangan aku bawa meraup kedua belah pipinya. Aku pejamkan mata. Aku sentuh mata yang tidak pernah sesaat lupa memancarkan sinar kasihnya buat aku. Perlahan-lahan turun menyentuh hidungnya yang mancung. Terhela nafasnya bermula disitu. Nafas yang telah Allah pinjamkan untuk aku untuk merasa nikmatnya dikasihani. Sedetik kemudian turun pula ke arah bibirnya. Bibir yang mula-mula mengajar aku untuk menyebut kalimah suci. Bibir yang tidak pernah culas mahu menyedarkan aku tentang hakikat sebuah kehidupan.

“Kenapa ni?” Resah suara itu menyapa pendengaran.

Perlahan-lahan mata aku buka. Aku pandang wajahnya penuh kasih. Bertapa beruntungnya aku mendapatkan dia sebagai seorang suami. Dan aku berdoa, wanita yang bakal Allah hadiahkan untuknya nanti juga, akan merasai selautan kasih seperti mana yang telah aku rasai.

“Adawiyah minta maaf untuk segala salah silap yang Adawiyah buat selama Adawiyah jadi isteri abang.” Merembas perlahan air mata membasahi segenap ruang wajahku. Puas aku menahan, tetapi murahnya ia keluar, tidak mampu untuk aku sekat.

“Setiap apa yang sayang buat, abang sentiasa ampunkan. Dah jangan cakap lagi benda-benda macam ni.”

Aku lihat matanya juga sudah mula bergenang dengan mutiara jernih. Kali ini dia pulak yang memeluk tubuhku erat.

“Tolong cari bidadari lain untuk abang cintai.” Aku berbisik perlahan di telinganya. Semakin murah air mataku mengalir, bila disapa esakan kecil yang tidak pernah sekalipun aku dengar selama aku menjadi bidadarinya…Dan aku harap, itu kali terakhir aku mendengarnya…Kerana…. aku hanya inginkan dia tersenyum….

Surat Cinta Untuk Disana : Jangan tanya saya bila siapnya….sy x ada jawapan untuk pertanyaan tu…Mungkin esok..mungkin lusa…atau mungkin x siap langsung sama seperti beberapa cerpen saya yang terbengkalai…. :) Cerpen ni saya ketuk saat otak sudah sesak dengan perkara santai. Rasa macam dah lama sangat tak menaip benda berat…. Benda yang boleh bagi kesedaran pada diri sendiri….Perkataan yang silap…ejaan yang salah dan penggunaan bahasa yang tak betul harap dimaafkan….sy x sempat mengedit….


No comments :

Post a Comment