Setiap kisah dan cerita ini adalah hasil nukilan penulis sendiri dan koleksi cerpen yang terdapat di dalam simpanan yang ditulis oleh penulis lain. Setiap cerita adalah hak milik penulis dan sebarang ciplak adalah tidak dibenarkan. Cerpen ini aadlah untuk koleksi simpanan dan bahan bacaan sahaja.

Tuesday, 24 January 2012

HATI KITA ~SELENDANG BIRU~


Aku sudah sedia menanti di muka pintu. Walaupun aku baru saja keluar dari melihat abang, tapi aku masih belum puas. Aku mahu berada di situ lebih lama. Tetapi dalam masa yang sama, aku perlu hormati keputusan abang yang mahu aku meninggalkannya agar dapat dia bersendirian bersama Kak Liza.
Aku sedar, bukan aku seorang saja yang bersedih atas derita yang ditanggung abang. Kak Liza juga punya perasaan yang sama dengan aku. Kak Liza menyintai abang dan aku menyayangi abang. Abanglah satu-satunya keluarga yang aku ada di dunia ini. Mak dan ayah dah lama pergi. Abanglah orang yang bertanggungjawab menjaga aku selama ini. Apa akan jadi pada aku kalau abang tiada nanti?
Tak dapat aku mambayangkannya! Setiap kali aku memikirkan tentang abang airmata laju saja membasahi pipi ini. Sunguh, jika diberi pilihan mahu saja aku meminta penyakit itu beralih padaku. Biarlah aku yang menanggungnya. Aku tak bisa hidup tanpa abang.
“Lia perlu hidup! Hidup lebih lama dari abang! Hidup Lia terlalu bernilai untuk bersedih, dik.” Itulah yang sering diulang-ulang abang bila aku mengatakan andainya aku punya kuasa, aku mahu menanggungnya di pihak abang. Tapi berlainan bagi aku. Hidup abang lebih penting berbanding aku. Abang ada Kak Liza, wanita yang dicintainya. Kak Liza terlalu baik untuk ditinggalkan. Jika aku yang perlu pergi meninggalkan dunia ini, semuanya akan lebih sempurna. Aku tak punya siapa-siapa. Abang tidak bergantung pada aku tetapi aku yang bergantung pada abang!
Sebentar tadi ketika aku masih di kelas, Kak Liza menelefon. Katanya keadaan abang semakin teruk. Dia mahu aku datang ke hospital dengan segera. Aku bergegas meninggalkan kelas walaupun aku masih belum mendapat keizinan untuk berbuat begitu. Aku takut aku tidak sempat.
Walaupun selama ini aku bertegas mahu menemani abang di sisi tetapi abang memaksa aku meneruskan pengajianku seperti biasa. Dia tidak mahu aku terlalu memikirkan tentangnya. Masa depanku terlalu bernilai. Itulah alasan abang. Untuk tidak meresahkan jiwaku, Kak Liza berjanji akan menjaga abang ketika aku ke kelas.
Sampai sahaja di sisi abang, abang tersenyum memandang aku. Wajah pucat dan bibirnya yang yang biru membuatkan jiwaku semakin tertekan. Aku tahu, ajal abang semakin dekat. Walaupun abang tahu waktunya hampir tiba, tetapi dia tetap gagahkan diri untuk tersenyum dan membuatkan hatiku ceria.
Oh abang! Bagaimana adikmu bisa ceria apabila melihat tubuh gagahmu yang dulu kini terbujur kaku di situ? Bagaimana aku bisa mengukirkan senyuman jika senyuman orang yang kusayangi memekar dengan wajah pucatnya?
“Lia, abang sayangkan Lia. Lia adik yang baik….” Dalam keperitan abang gagahkan diri untuk bersuara. “Bila abang dah tak ada nanti, jangan sesekali tinggalkan solat. Ingat pada Allah. Ingat pada abang, mak dan ayah. Kami semua memerlukan doa-doa Lia untuk kesejahteraan kami di sana . Jangan sedih. Kami semua akan tunggu doa-doa Lia di sana nanti. Jangan lupakan kami.”
Semakin sebak hatiku apabila abang berkata begitu. Aku tahu, abang hanya meninggalkan dunia ini dan masuk ke alam yang lain. “Jangan menangis adikku. Tak baik menangisi pemergian seseorang. Berdoalah dan sedekahkanlah Fatihah untuk abangmu ini.”
Usai abang berbicara denganku, dia mahu aku menunggu di luar kerana dia mahu bersendirian dengan Kak Liza. Ada yang perlu disampaikan pada Kak Liza katanya.
Sudah hampir satu jam Kak Liza bersendirian dengan abang di dalam. Aku masih ke hulu ke hilir di depan bilik. Dalam keresahan hatiku, aku melihat seorang doktor dan beberapa jururawat sedang bergegas menghampiriku. Sampai sahaja di depan pintu bilik abang, mereka meluru masuk. Seketika kemudian, Kak Liza keluar dari situ.
“Kenapa kak?” Aku sudah kaget memandang wajah Kak Liza yang sudah kebasahan dengan tangisan. Walaupun tiada esakan kedengaran, aku tahu hati itu sedang berduka seperti aku.
Kak Liza duduk mendiamkan diri tetapi airmatanya tidak pernah berhenti. Aku juga menangis pilu. Walaupun Kak Liza membisu, aku seakan dapat mengagak apa yang sedang berlaku di dalam. Seketika kemudian, doktor tadi keluar dan berdiri di depan pintu.
Baik aku mahupun Kak Liza tidak meluru ke arahnya, kami tetap di situ dan hanya membalas pandangan matanya. Dia menghambuskan nafas hampa sambil menggelangkan kepala. Di saat itu juga tangisan aku kedengaran.
“Innalilla hiwainna ilai hiraji’un……”
Kak Liza memelukku. “Sabar Lia. Allah lebih menyayangi dia. Sabar…..” Kak Liza, begitu tabahnya hatimu menghadapi perpisahan ini sedangkan yang sudah pergi itu kekasihmu. “Semua yang berlaku adalah kehendakNYA. Berbaik sangkalah dengan setiap dugaan yang diberikanNYA kerana dia lebih mengetahui apa yang terbaik bagi setiap hambaNYA.”
Sungguh, memang kata-kata itu ditujukan untuk aku tetapi aku dapat merasakan kata-kata itu lebih diucapkan untuk dirinya sendiri.
_____________________________
SUDAH enam bulan pemergian abang. Selama itu jugalah aku tinggal dengan Kak Liza. Sebelum abang pergi dia sudah berpesan, dia mahu Kak Liza menggantikan posisinya untuk menjagaku. Aku sudah keluar dari rumah sewa yang ku huni bersama abang dahulu dan kini menetap di teratak milik Kak Liza bersama adik lelakinya.
Walaupun begitu, aku tidak pernah berjumpa dengan Annas, adik lelaki Kak Liza kerana dia sedang belajar di Korea . Kata Kak Liza, sudah tiga tahun Annas tidak pulang ke sini. Semuanya kerana kos yang tinggi. Tetapi sekali sekala Annas tetap menghubunginya.
Dua minggu lepas, aku lihat wajah Kak Liza bertambah ceria apabila dihubungi Annas. Katanya Annas akan pulang bercuti selama sebulan. Cuti apa, aku tidak pasti. Setelah itu Annas akan pulang semula ke Jepun dan menyambung pengajiannya sehinggalah tamat baru dia akan kembali lagi.
Kini, aku sudah berada di airport bersama Kak Liza untuk menunggu kedatangan Annas. Sebaik sahaja penerbangan dari Jepun tiba, wajah Kak Liza semakin tak tentu arah. Jelas diwajahnya yang dia terlalu merindui adik lelakinya. Tercongok-congok Kak Liza mengamati setiap penumpang yang baru tiba.
“Annas!!” Wajahnya bertukar ceria apabila melihat sekujur tubuh adiknya. Dia terus berlari mendapatkan Annas dan memeluknya. Aku hanya memerhati dari kejauhan. Aku khuatir akan penerimaan Annas padaku.
Kelihatannya mereka sedang berbual ceria dan mungkin di saat ini mereka melupakan kehadiran aku. Aku hanya menanti dan memerhati sahaja.
Setelah itu barulah aku melihat mereka berdua menghampiri aku yang sedang berdiri tegak menunggu. Dari jauh aku melihat senyuman di wajah Annas sentiasa memekar sehinggalah dia dan Kak Liza tiba di depanku.
“Kenalkan ini Dahlia, adik angkat akak,” Kak Liza mengenalkan aku pada Annas.
“Annas,” Dia mengenalkan diri. “Selamat berkenalan.” Dia menundukkan kepala sedikit. Aku juga berbuat begitu.
Kemudian kami berangkat pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah, Annas hilang untuk merehatkan diri. Aku membantu Kak Liza menyediakan makan tengahari. Menjadi yatim piatu seawall usiaku dua belas tahun, banyak mengajarku untuk menguruskan rumah. Abang sendiri suka dengan setiap masakan ku.
Sekarang, bila aku tinggal bersama Kak Liza, dia juga mengatakan hal yang sama. Dia sukakan masakanku. Walaupun begitu, adakalanya Kak Liza juga turun ke dapur untuk memasak dan adakalanya kami melakukan bersama.
Kebetulan hari ini kami berdua ada bersama, jadi kami berdua masuk ke dapur bersama. Sambil menyiapkan hidangan tengahari, Kak Liza tak henti-henti bercerita tentang Annas. Begitu ceria sekali. Kelihatannya hubungan antara Kak Liza dan Annas sangat mesra sepertimana aku dan abang dulu. Sayu hati aku mengingatkan kemesraan hubungan kami.
“Lia….” Kak Liza menghampiriku. “Kenapa ni?”
Aku hanya tersenyum memandangnya. “Tak de apa kak. Lia cuma bahagia lihat akak dan Annas.”
“Lia rindukan abang, ye….” Kak Liza seolah-olah mengerti perasaan aku tika itu. Dia memelukku. “Jangan menangis Lia. Bagi akak, selain amanah yang ditinggalkan abang, Lia juga adalah keluarga akak. Akak sayangkan Lia!”
Aku terus membalas pelukannya. “Terima kasih, kak.”
“Sabar….doa banyak-banyak untuk mereka yang kita sayang. Hanya doa kita yang mampu membantu mereka sekarang.” Kak Liza meleraikan pelukannya.
“Kak….” Aku memanggil perlahan sambil tangan kananku mengalih badan ikan yang ku goreng di kuali. “Adik akak tak kisah dengan Lia?” tanya aku.
“Annas?” Kak Liza memandangku. Aku hanya mengangguk. “Annas is the best buddy in the world! Even akak ni pun, dah lebih dari seorang kakak pada dia. Jangan risau!”
“Ehemm…” Satu deheman asing itu membuatkan mereka menoleh. Wajah Annas muncul bersama senyuman manisnya. Annas memandang aku. Aku yang sudah termalu alah hanya membalas senyumannya.
“Kenapa tak rehat je dalam bilik. Akak dengan Lia belum habis masak lagi.” Kak Liza kembali memerah santan.
“Lambat lagi ke kak?” tanya Annas tanpa menjawab pertanyaan Kak Liza.
“Kejap lagi siaplah!”
“Nak An bantu?” Soalan Annas situ membuatkan aku terus memandangnya. Annas hanya tersenyum membalas pandanganku.
“Pandai ke?” tanya Kak Liza. Soalan yang sama juga sedang berlegar di kepala ini.
“Tiga tahun di negara orang, kak. Dah tu makanan halal pulak mahal. Kenalah masak sendiri. Dari tak tahu, terus jadi pakar!”
Aku tersenyum. Benar jugak! Tentu sahaja pengalamannya mengajarnya untuk melakukan perkara yang dia tidak mahir. Annas membuktikan kata-katanya benar sama sekali bila dia juga ikut membantu aku dan Kak Liza siapkan makan tengahari.
Lepas makan tengahari, aku menghilangkan diri ke bilik untuk menunaikan solat Zohor. Lepas solat aku menyisir rambut ku dahulu sebelum memakai tudung. Ah…semakin banyak rambut-rambut ku yang gugur. Aku kembali mengenakan tudung. Kehadiran Annas di situ menyulitkan pergerakkan ku.
Aku kembali ke ruang tamu dan melihat Annas sedang bermain ‘Jutawanria’ bersama Kak Liza.
“Dahlia!” Annas memanggil aku bila terlihat kelibatku. “marilah kita main sekali!”
Kak Liza melambai padaku. Aku menyertai mereka. Ketika zaman kecilku aku juga suka bermain permainan ini dengan abang. Sambil bermain aku lihat Kak Liza ketawa tak henti-henti. Ada saja usikan Annas pada Kak Liza. Aku sangat terhibur dengan kehadiran Annas. Rumah yang selama ini sunyi bertambah meriah. Aku juga melihat Kak Liza begitu ceria dan penuh dengan tawa. Belum pernah aku melihatnya segembira itu sejak kepergian abang.
“Annas tak pernah menang bila main dengan akak!” Kak Liza mengusik Annas.
“An, kan lelaki. Tak macholah kalau tak beri laluan pada perempuan untuk menang!” Annas mempertahankan maruahnya. Aku hanya tersenyum.
“Siapa yang selalu menang kalau Lia main dengan arwah?” tanya Annas. Kak Liza mencubit lengan Annas. “An tanya jelah!”
Aku ketawa kecil. Aku tahu Kak Liza khuatir jika perasaanku terusik lagi. “Selalu Lia yang menang. Tapi Lia tahu, abang sengaja biarkan Lia menang!”
“Hah…..betul tak! Bukannya An tak boleh menang! Tapi sebagai lelaki sejati, An perlu pastikan wanita disekeliling hanya tersenyum gembira!”
Ah…sifat dan kata-kata Annas tak ubah seperti arwah abang. Melihat Annas aku menjadi rindu pada abang.
“Kak, nanti petang boleh tak Lia melawat abang?”
Kak Liza menyepi seketika. “Boleh….tapi akak tak dapat teman.” Kak Liza menggeleng. Gelengan itu sudah cukup membuatkan aku mengerti yang Kak Liza masih keuzuran. “An temankan Lia?”
Annas memandang aku. “Eh, tak pe! Lia boleh pergi sendiri!” Tentu saja aku segan bertemankan Annas yang baru aku kenali.
“Biar saya temankan awak. Saya takkan biarkan orang-orang di dalam rumah ni bersendirian ke mana saja!” Annas tersenyum padaku. “Arwah tinggalkan awak untuk kakak. Kakak saya adalah tanggungjawab saya. Itu bererti, awak juga berada dalam tanggungjawab saya.”
Kak Liza tersenyum. Senyuman itu menunjukkan betapa dia berbangga punya adik seperti Annas.
____________________
AKU menyapu kedua tapak tanganku. Aku melihat Annas masih belum menyudahkan doa-doanya. Bibirnya masih bergerak-gerak. Aku bangun lalu menyirami pusara abang, mak dan ayah. Aku menyerahkan jag air kepada Annas apabila melihat dia usai berdoa. Dia juga menyirami pusara keluargaku.
Pusara kedua orang tua Annas juga ditempatkan di sini. Ketika tiba tadi, kami terlebih dahulu melawat pusara mereka sebelum ke pusara keluarga ku.
“Terima kasih ya!” Aku rasa wajar untuk aku berkata begitu atas kesudian Annas membawa ku melawat mereka semua.
“Untuk apa?” terlihat jelas kerutan di wajahnya. Tetapi kemudian dia tersenyum. “Tak perlu berterima kasih. Dah lama juga saya tak melawat pusara orang tua saya. Dah kebetulan Lia ke sini, saya tumpang sekali!” Dia tersenyum. “Kalau tak silap saya depan masjid ni ada gerai mee rebus, kan?” tanya Annas. Matanya sudah liar memandang sekitar.
Ada! Di pintu depan!” ujarku.
“Jom!!” Dia terus meninggalkan aku.
Aku hanya tersenyum. Tiga tahun diperantauan. Sudah pastinya dia rindukan segalanya yang ada di tanah kelahirannya sendiri.
“Wah…!!” Aku lihat wajah Annas bersinar apabila dua pinggan mee rebus siap dihidangkan. “Kita makan dulu! Bismillah…..” Dia mula menjamah mee rebus itu panas-panas. Ralit pula aku dengan kelakuannya.
“Awak suka mee rebus?” Aku hanya memecah kesunyian.
“Suka! Tapi saya lebih suka pada semua makanan yang ada di sini. Bila saya di sana, saya ayik terbayangkan mee rebus, cendol, nasi lemak….semualah!” Annas begitu berselera menghabiskan semangkuk mee rebusnya.
“Awak pernah kenal dengan abang saya?” aku bertanya. Terasa ingin tahu juga adakah sebelum ini Kak Liza pernah kenalkan Annas dengan abang.
“Terus terang saya katakan, saya tak pernah lihat abang awak. Bagaimana wajahnya dan penampilannya…..” Dia menggeleng. “Tapi saya sangat kenal dengannya.”
“Maksudnya?” Aku kurang mengerti.
“Saya belum pernah bertemu dengannya. Tapi saya kenal dia melalui kakak saya. Dia selalu bercerita tentang abang awak dari pertama kali mereka berkenalan hinggalah bila dia dapat tahu tentang penyakit yang dihidapi.” Annas diam seketika. “pada awal perkenalan mereka, saya selalu dengar suara kakak yang ceria dan gembira setiap kali bercerita tentang abang awak. Tapi, di akhirnya….”
“Kakak awak terlalu menyintai abang saya, kan?” Aku sudah hampir menitiskan airmata.
“Sesungguhnya Allah lebih menyintai hamba-hambaNYA!” Annas menghulurkan sehelai tisu padaku.
“Sorry…..” Aku selalu terlupa untuk mengawal diri bila timbul perkara sebegini.
“Awak selalu bercakap sesuatu yang tidak perlu!”
“Uh?” Aku menjadi keliru.
“Awak berterima kasih pada perkara yang tak perlu dan awak minta maaf tanpa membuat kesilapan.” Annas tersenyum. Aku juga tersenyum mendengar kata-katanya. Benar kata Kak Liza. Annas is very easy person to going with. Sedikit demi sedikit aku sudah semakin senang mendekati Annas.
“Saya terhutang budi pada Kak Liza. Kalau bukan kerana dia, saya takkan punya sesiapa dalam dunia ni!” Sungguh, aku sangat terhutang budi pada Kak Liza dan sekarang juga merasakan hal yang sama pada Annas. Mereka berdua menerima diri ini walaupun aku dan mereka tidak ada hubungan darah.
“Awak adalah orang yang paling bermakna untuk abang awak! Abang awak adalah orang yang paling bermakna dalam hidup kakak saya! Kakak saya adalah orang paling bermakna untuk saya! Saya dan awak adalah orang yang bermakna bagi kakak!” Annas membuat kesimpulan yang panjang. “Kita semua saling memerlukan untuk menyokong satu dengan yang lain!”
Sungguh, aku sangat terharu dengan kata-katanya. “Tapi kakak awak juga perlu mencari kebahagiaannya sendiri. Saya takut kehadiran saya akan membataskan langkah untuk dia mencari bahagianya dengan orang lain.” Aku selalu merasakan begitu. Abang adalah masa silam Kak Liza. Kak Liza perlu membuka lembaran baru dalam hidupnya.
“Insyaallah…..Jika Allah membuka pintu hatinya, akan ada cinta baru yang lahir,” ujar Annas. “Kehadiran awak penting dalam hidupnya. Suatu saat, jika perkara itu berlaku, awak tetap sebahagian dari keluarga kami!”
Aku semakin terharu dengan penerimaan Annas. Biarpun Annas tidak pernah mengenali aku sebelum ini, tapi dia kelihatan begitu tulus dengan kehadiran aku. Namun, jauh di sudut hati aku, aku perlu bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku di masa depan.
_________________
SEMUA buku-buku aku masukkan ke dalam beg galas ku. Aku melirik jam ditangan sekilas. Aku masih punya waktu yang banyak untuk menghadiri kelas pagi itu. Aku berjalan lambat-lambat menuruni anak-anak tangga. Biasanya waktu begini, Kak Liza sudah berangkat ke hospital. Kak Liza juga salah seorang doktor di hospital yang merawat abang dahulu.
Aku lihat Annas sedang berehat di laman sambil membaca akhbar. Dia menoleh setelah menyedari kehadiran aku.
“Awak dah sarapan?” Aku bertanya.
“Dah!” Annas melipat akhbar dan meletakkannya di atas meja kopi. “Jom!”
“Uh?” Kening aku terjungkit.
“Saya hantar awak ke kelas!” Dia sudah membuka kunci kereta.
“Eh, tak pe! Saya boleh pergi sendiri!” Rasa tak enak pula mahu menyusahkan Annas.
“Kakak dah amanahkan saya untuk hantar dan ambil awak dari kelas selama saya masih di sini.” Annas tersenyum. Aku menghela nafas. Kenapalah mereka berdua suka menyusahkan diri kerana aku. Rasa terhutang budi aku semakin bertimpa-timpa. Annas sudah membuka pintu untuk aku.
“Terima kasih,” Aku duduk di kiri. Annas memandu keluar dari kawasan rumah.
“Kak Liza terlalu manjakan saya!” Aku bersuara. “Saya perlu belajar untuk bedikari.”
Annas menoleh sekilas padaku. “Selama ni awak berdikari, kan. Awak ke kelas sendiri, ke mana-mana pun sendiri. Cuma, selama saya ada biar saya jaga awak, okey!”
“Tapi saya rasa tak selesa. Saya rasa menyusahkan….” Aku meluahkan rasa tidak senangku.
“Awak perlu biasakan diri. Kalau abang awak masih ada, tentu dia akan melakukan perkara yang sama,” kata Annas. “Awak anggap saja saya ni macam abang awak!”
Macam mana untuk aku gantikan posisi abang dengan orang lain? Sungguh, abang terlalu istimewa untuk aku!
_________________________________________________________________________________
AKU melihat kereta Annas sudah terparkir di tepi. AKu menghampiri lalu mengetuk cermin kiri. Annas membuka pintu setelah melihat aku. Aku masuk ke dalam kereta.
“Awak letih?” tanya Annas sebaik sahaja punggung aku mencecah kerusi. “Muka awak pucat!” Memang aku terasa sedikit letih. Mungkin kerana aku perlu melakukan kerja yang lebih untuk mengejar kembali pelajaranku yang tertinggal kerana banyak bercuti di saat-saat akhir kepergian abang.
“Letih sikit. Tapi saya okey.” Aku melemparkan senyuman pada Annas.
Annas memandu keluar dari situ sampai sahaja di tepi tasik, Annas mematikan enjin kereta. “Jom!!” Annas keluar. Aku juga ikut keluar.
Aku lihat Annas menghampiri penjual aiskrim yang ada di situ. Dia membeli dua aikrim cornetto lalu kembali menghampiri aku. Kami berdua berjalan ke tasik lalu duduk di bangku panjang. Aiskrim cornetto perisa vanilla dan coklat dihulurkan pada aku. Dia pula mengambil aiskrim cornetto perisa coklat.
“Kak Liza kata awak suka coklat tapi awak tak suka makan aiskrim coklat. Awak lebih suka coklat dan vanilla.”
Aku tersenyum. “Ya, saya memang gemar dengan coklat. Tapi saya tak tahu kenapa kalau makan aiskrim, saya tak suka perisa coklat seluruhnya. Saya suka coklat bercampur dengan vanilla.” Aku membuka balutan kertas. “Awak suka apa?”
“Saya?” Annas memandang aku. “Saya suka semua! Saya tak memilih makan!” Annas tersenyum.
“Awak senang dapat balik ke sini?” Aku dapat membaca keriangan diwajahnya yang merindui tanah tempat tumpah darahnya.
“Sangat!!” Dia menarik nafas panjang. “Jepun memang tempat yang cantik. Penduduknya bersopan santun dan punya nilai diri yang tinggi. Makanannya sedap! Tapi seperti kata orang tua dulu-dulu, hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri. Tapi kita tetap memilih untuk kembali ke tempat asal kita!”
Aku mengangguk setuju dengan kata-katanya. Walaupun aku belum pernah ke Jepun, tapi aku pasti Jepun satu tempat yang sangat menarik. Aku juga ingin ke sana. Tapi aku sedar takdirku tidak mengizinkan demikian.
“Saya harap suatu hari nanti saya dapat ke sana,” ujarku tanpa sengaja.
Annas menoleh memandangku. Barulah aku sedar keterlanjuran kata-kataku. Tak sepatutnya aku berkata begitu. Kelihatan seperti aku mahu mengikutnya ke sana pula.
“Insyaallah……” Annas tersenyum. “Banyak yang masih belum kita ketahui tentang diri masing-masing.” Aku mengangguk. “Apa kata hari ini kita bercerita tentang kita. Apa yang kita suka, yang tidak….apa-apa sajalah.” Annas mengusulkan cadangan. Aku hanya menganggukkan kepala.
“Pertama sekali, apa yang awak mahu tahu tentang saya?” Aku bertanya. Annas diam berfikir seketika.
“Apakata awak yang bertanya dulu pada saya,” katanya kemudiannya.
“Okey!” Aku bersetuju. “Berapa usia awak?”
“Dua puluh lima.”
Aku mengangguk. Nampaknya, usianya tidak terlalu jauh denganku. Hanya lima tahun. “Saya….”
“Dua puluh!” Annas menjawap bagi pihakku. Terkejut aku bila Annas meneka dengan tepat. “Saya pula yang tanya…..” Annas menggosok dagunya. “Hobi?”
“Saya suka membaca sambil dengar muzik. Awak?”
“Sama!” Kami berbalas senyuman. “Muzik apa yang awak suka?”
“Semua. Dari etnik hingga ke rock. Tapi bergantung pada melodinya!” Annas sudah tersenyum dengan jawapanku. “Tapi saya tak suka heavy metal!”
“Saya pun tak suka heavy metal!” balas Annas. “Saya lebih suka muzik yang rancak, hip hop, rap, jazz, samba, rock. Saya kurang gemar dengan muzik ballad dan slow.” Aku hanya mengangguk. Kebanyakkan lelaki memang kurang gemar muzik perlahan dan mendayu-dayu. Abang juga begitu.
“Awak suka membaca, kan?” AKu bertanya. “Buku seperti mana yang awak suka?”
“Saya suka thriller genre, history dan motivasi.” Dia beralih padaku. “Awak?”
“Kalau penulisan kreatif, saya lebih suka pada genre berbentuk islamik. Saya juga suka pada sejarah keislaman dan motivasi dan buku-buku berbentuk spiritual!”
“Tentu awak banyak pengetahuannya dalam agama.” Annas menyimpulkan. Aku menggeleng.
“Kurang tepat! Saya sendiri masih banyak kurangnya tentang pengetahuan agama. Saya sendiri masih keliru dengan beberapa fakta tentang sejarah lama sebelum kedatangan Islam dan selepas kemangkatan Rasullullah. Saya juga masih tertanya-tanya bagaimana umat islam terbahagi kepada mazhab berlainan dan dimana perbezaannya.”
“Sama seperti awak! Banyak juga sejarah tentang Islam yang saya kurang mengerti. Bagaimana ia berlaku? Apa kesannya? Apa yang sebelum dan apa yang selepas.” Annas mengetap bibirnya. “Jom kita ke kedai buku!” Dia terus berdiri.
Aku hanya menurut. Sampai sahaja di kedai buku kami terus menuju ke rak buku-buku Islamik. Agak lama juga kami di situ memilih buku-buku yang sesuai untuk dijadikan rujukan pada setiap persoalan. Aku tertarik dengan empat buku kisah-kisah Rasullullah dan para sahabat. Tetapi kisahnya telah diolah dalam bentuk novel dengan cara yang sangat menarik. Aku merasakan demikian setelah menyelak beberapa halaman.
Lalu aku menunjukkan empat buku ditanganku pada Annas. “The messenger, The Successor, The Conqueror dan The Glorious!” Annas menunjukkan minatnya pada buku-buku itu. Tidak lain dan tidak bukan, buku-buku itu merujuk kepada kekasih Allah, iaitu Rasulullah, sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab dan Ali bin Abi Talib, menantu Rasulullah.
“Saya juga minat yang ini!” Annas menunjukkan padaku sebuah buku yang sangat tebal.
“Empat Imam Yang Benar!” Aku membaca tajuknya. “Subahanallah…..saya memang cari buku ini!” Sungguh, aku mahu pelajari empat mazhab yang dibawa empat imam ini. Imam Maliki, Imam Hanafi, imam Hambali dan Imam Syafi’e.
“Kita beli semua ya,” ujar Annas.
“Semua?” Aku terdiam sekejap. Aku masih belum mampu untuk membeli semuanya sekali gus. Belum sempat aku habis berfikir, Annas sudah hilang ke kaunter. Semua buku-buku itu, dia yang bayarkan. Aku jadi semakin rasa bersalah padanya.
_____________________________________
DUA tiga suap setetah aku masukkan ke mulut, aku sudah hilang selera. Mujurlah aku ambil nasi hanya sedikit. Aku gagahkan juga habisan bakinya.
“Dah sudah?” Kak Liza memandang sisa di pinggan ku. Aku hanya mengangguk. “Kenapa makan sikit sangat. Lia dah semakin kurus tau! Tak baik untuk kesihatan. Badan kita perlukan zat yang cukup untuk melakukan tugas harian!” Kak Liza sudah meluahkan kepakarannya sebagai doktor.
“Masuk angin agaknya. Petang tadi kita cuma makan mee rebus je,” sampuk Annas.
“Itulah An, berapa kali kakak dah pesan suruh tengok-tengokkan Lia ni!” Kak Liza menjeling Annas.
Annas tiba-tiba bangun lalu duduk di sebelahku. Dia mengangkat pingganku dan mengisi satu senduk nasi. “Nah makan,” Dia menyuakan sudu ke bibirku. Aku terkelu sekejap. Wajah Kak Liza ku perhatikan. Kak Liza sudah tersenyum sumbing. “Makanlah. Kang saya jugak kena marah sebab tak jaga awak!”
Aku membuka mulut juga tetapi hati aku benar-benar terusik dengan kata-katanya. Nampak benar, dia menjaga aku diluar kerelaannya. Dua tiga sudu disuapkan kemudian aku menolak. Aku minta izin mereka untuk berundur dari situ.
Entah kenapa aku merasa sebak mendengar Annas berkata begitu. Jika dia bosan menemaniku, jika dia tidak sudi menjaga ku, tak perlulah dia memaksa diri. Tak perlulah dia berlakon di depan Kak Liza. Aku melangkah ke dalam kamar.
Aku berbaring lalu mengambil buku. Aku tak mahu memikirkan tentang Annas lagi.
Lebih kurang dua jam aku berkurung di bilik usai makan malam, aku terasa mahu turun ke dapur dan membancuh secawan indocafe. Aku membuka daun pintu sedikit dan mengintai ke luar. Kelihatannya suasana sudah gelap. Mungkin Annas dan Kak Liza sudah masuk tidur.
Aku pun berjalan ke dapur dan membancuh secawan indocafe. AKu menarik kerusi dan menikmati indocafe di situ. Leher aku yang terasa lenguh aku urutkan sambil menghirup indocafe yang masih berkepul-kepul asapnya.
“Dahlia…..” suara Kak Liza menyapaku perlahan. Aku memandangnya.
“Akak tak tidur lagi?” Aku ingatkan semuanya dah masuk tidur.
Kak Liza menggeleng. “Belum.” Kak Liza menarik kerusi di depanku dan duduk di situ.
“Akak nak air?” Aku bertanya. Kak Liza tersenyum
“Boleh jugak kalau Lia nak tolong bancuhkan.” Aku bangun lalu membancuh secawan milo panas untuk Kak Liza. “Awal Annas tidur.” Aku sekadar berkata begitu. Biasanya anak muda seperti Annas tak mungkin masuk tidur seawall begini.
“Annas ada di rumah Pak Lang,” ujar Kak Liza. Pak Lang yang dimasukkan Kak Liza adalah jiran di depan rumah. “Sementara Lia ada di sini, akak minta Annas bermalam di sana. Tak manis pula bila orang tengok ada anak dara dan anak teruna dalam rumah yang sama.”
Aku meletakkan cawan milo yang siap dibancuh di depan Kak Liza. “Lia ni menyusahkan Kak Liza dan Annas je.” Memang benar, itulah yang aku rasakan.
“Dahlia!” Mata Kak Liza sudah terbeliak memandang aku. “Berapakali akak cakap jangan anggap diri Lia menyusahkan! Akak dan Annas dah anggap Lia macam adik sendiri! Akak tak nak Lia fikir yang bukan-bukan!” Aku sudah menundukkan kepala dengan kemarahan Kak Liza.
Aku tahu Kak Liza memang tak suka jika aku berkata begitu, tapi bagaimana dengan Annas? Bukankah aku telah menyusahkan dia?
_____________________
Pagi esoknya aku mengintai di balik jendela. Kelihatan Annas sudah siap menunggu aku di laman depan. Aku tak mahu menyusahkan Annas lagi. Aku mencapai beg galas dan buku-buku ku lalu terjengket-jengket aku berjalan menuruni anak tangga. Takut-takut langkah ku didengar Annas.
Aku ke dapur dan keluar melalui pintu belakang. Setelah merasakan aku sudah selamat, aku pun keluar dari situ dan menuju ke stesen bas. Lapang dadanya bila rasa aku dapat lepas dari menyusahkan Annas.
Tamat sahaja sesi pembelajaran hari itu, aku keluar dari kelas. Sengaja aku melambatkan pergerakanku. Aku suka menjadi orang terakhir yang keluar dari kelas. Aku tak suka berebut-rebut dengan orang. Semak! Bila kelas kosong, aku berjalan keluar.
Sampai di depan pintu aku terasa ada tangan yang memegang pergelangan tanganku. Terkejut aku bila melihat Annas dengan senyumannya berada di balik pintu.
“Awak buat apa kat sini?” Aku bertanya setelah Annas melepaskan tanganku.
“Apa saya buat dekat sini?” Annas menggelengkan kepalanya. “saya cari orang yang hilang.” Aku diam. Aku tahu orang itu adalah aku. Aku berjalan pergi. Annas mengikut langkahku.
“Kenapa awak pergi sendiri?” dia bertanya. Aku diam.
“Awak tahu tak saya tunggu awak berjam-jam! Bila saya ingat awak mungkin terlupa nak kunci jam, saya naik ketuk bilik awak. Lama saya tunggu. Nak tak nak terpaksalah jugak saya ceroboh bilik awak. Tapi awak tak de!” ujar Annas. Aku diam lagi.
“Awak nak ke mana?” Dia bertanya bila langkahku menghala ke stesen bas. Aku tetap diam. Melihatkan kebisuan aku, dia terus mencapai lenganku dan menarik aku agar mengikutnya.
“Lepaslah Annas!!” Aku cuba menarik lenganku. “Saya boleh balik sendiri!”
Dia menghentikan langkah dan menoleh padaku. Tetapi lenganku tetap dipegangnya. “Awak nak ikut saya atau berdrama di sini?”
Aku memandang sekeliling. Kelihatan beberapa pelajar sedang mengalihkan pandangan mereka pada kami. Untuk mengelakkan salah faham, aku mengikut Annas. Annas melepaskan pegangannya. Aku membungkam dalam kereta.
“Awak marahkan saya?” tanya Annas. Aku diam. “Apa yang saya dah buat?”
“Saya paling tak suka orang yang tak ikhlas dan bermuka-muka!” Aku menjeling tanpa memandangnya. Lama juga Annas diam. Mungkin dia sedang memikirkan kata-kataku.
“Awak maksudkan saya?” Annas bertanya. Aku diam. “Apa yang saya dah buat?”
“Annas, saya tahu siapa diri saya. Awak tak perlu merasakan yang saya ni tanggungjawab awak. Saya boleh jaga diri saya sendiri.” Aku memandang seklias padanya. “Untuk apa awak bersusah payah kerana saya kalau awak tak mahu! Saya tak paksa awak!”
Annas menghentikan kereta bila tiba di tasik kelmarin. “Apa maksud awak?” Dia sudah mengalihkan badannya menghadap aku.
“Awak buat semua ni sebab Kak Liza, kan?” Aku memandangnya. “Awak sendiri yang cakap, kalau awak tak jaga saya, awak akan kena marah!” Wajah aku semakin masam. “Nampak sangat awak terpaksa!” Aku membuka pintui dan melangkah keluar. Aku bersandar di kereta.
Enjin kereta dimatikan. Aku memerhatikan langkah Annas menuju ke penjual aiskrim. Aku berjalan dan duduk di bangku panjang. Annas mendekati dan duduk di sebelahku. Dia menghulurkan aiskrim cornetto perisa coklat dan vanilla padaku. Aku berpaling, tak mahu mengambilnya.
“Tak nak?” dia bertanya. Aku buat tak tahu sambil memeluk tubuh. “Lia, saya minta maaf. Tapi saya tak maksudkan begitu.” Wah…..mendayu sekali suaranya. Boleh tertipu aku dengan suara begini.
“Tak payah minta maaf. Awak tak salah. Saya sedar saya ni cuma menumpang di rumah awak dan Kak Liza.”
“LIa, saya tak maksudkan begitu! Saya minta maaf ya,” Dia menghulurkan aiskrim di depan mataku. “Rasullullah pun mengampunkan umatnya, apalah pula kita-kita ni.” Aku mengerling Annas yang sedang tersenyum. AKu mencapai aiskrim ditangannya. Senyumannya semakin lebar. “Memang betul kata Kak Liza, awak ni sensitif.”
“Apa lagi yang Kak Liza beritahu awak tentang saya?” Kalau Kak Liza sering bercerita tentang abang, tentu juga Kak Liza sering bercerita mengenai aku pada Annas.
“Semuanya tentang awak saya tahu.” Hmm…patutlah dia tahu berapa usiaku. Tapi ada satu perkara tentang aku yang tiada siapa yang tahu. “Awak bercita-cita nak jadi ahli perniagaan?” tanya Annas. Aku berpaling memandangnya.
“Hhmmmm….” Aku hanya mengangguk. Tapi, aku punya satu cita-cita yang lebih aku ingini dalam hidup aku. Tapi aku tahu, Allah tidak mentakdirkan aku untuk itu.
“Saya kurang minat dalam perniagaan.” Aku hanya menangguk. Ya, aku tahu itu sebab dia pelajar kejuruteraan. “Selain ingin menjadi seorang engineer, saya ada satu impian lain.” Dia sudah tersenyum.
“Saya mahu mencari pasangan hidup yang menyenangkan.”
Aku diam. Kenapa dia perlu berbicara tentang ini padaku? Aku tak minat nak tahu urusannya. “Saya tak campur hal peribadi orang,” ujar aku berterus terang. Dia terus terdiam.
________________
AKU terpaku di kaki tangga. Kak Liza yang baru pulang dengan membawa sekotak barang. “Lia! Tolong akak!” panggilnya bila terlihat aku berdiri di situ. Aku menghampiri.
“Apa ni, kak?” Aku membantu Kak Liza membuka kotak itu.
“Ni semua barang-barang untuk buat pesta hari lahir.”
“Hari lahir? Siapa?” aku bertanya.
“Hari ni hari lahir Annas. Lia boleh tolong akak?” tanya Kak Liza. Aku mengangguk pantas. Tentu sahaja aku boleh membantunya membuat persiapan untuk meyambut hari lahir Annas. Lagipun, Annas itukan adiknya. Takkanlah aku tak sudi membantu adik Kak Liza yang sudah banyak menolongku.
“Okey, apakata kalau Lia siapakan masakan yang sedap-sedap hari ni?” Aku terasa gembira sekali untuk membantu Kak Liza.
“Tak! Akak nak Lia bantu akak bawa Annas lari dari sini!”
“Uh?” Berkerut wajahku.
“Tentang sambutan ni, biar akak yang uruskan. Semuanya!” ujar Kak Liza. “Lagipun, kita cuma nak sambut bertiga saja. Tak susah nak siapkan. Akak cuma nak Lia bawa Annas pergi dari sini sampailah akak telefon Lia nanti!”
Aku teragak-agak tetapi kemudian aku mengangguk jugak. Kak Liza mengintai rumah Pak Lang dari jendela. “Annas dah nak datang sini! Cepat Lia!”
Aku terkoncoh-koncoh keluar dari situ. Annas yang sudah membuka pintu pagar tersenyum melihat aku.
“Assalamualaikum….LIa.” seperti biasa, senyuman manis tak pernah lekang dari wajahnya.
“Waalaikummusslam,” Aku pula yang rasa tak tentu arah.
“Akak dah bangun?” tanya Annas yang sudah sedia untuk melangkah ke dalam.
“An!!” Pantas aku mencapai lengannya. Annas memandang aku sambil tersenyum.
“First time saya dengar awak panggil saya, An!” Wajah aku ditenungnya. “Hanya orang-orang yang menyayangi saya saja akan panggil saya macam tu.” Wajah aku sudah merona merah.
“Maaf, saya tak sengaja. Saya takkan panggil awak macam tu lagi!” Aku cuba mengelakkan kesalafahaman yang mungkin berlaku.
“Tak pe. Awak boleh panggil saya macam tu. Saya suka!” Semakin terasa panas wajahku.
Annas sudah mahu melangkah ke dalam lagi. “An!” Sekali lagi juga aku terpanggil dia begitu dan sekali lagi juga aku memegang lagi tangannya. Annas sudah berkerut keningnya melihat sikap aku yang tak seperti biasa. Ya, kalau aku juga tentu merasa aneh. Tiga hari lepas, aku melayannya acuh tak acuh tetapi pagi ni sikap aku kelihatan seperti mahu menarik perhatiannya. Ini semua kerana Kak Liza!
“Okey, Dahlia. Ada apa sebenarnya ni?” Tajam dia memandang anak mata aku sehinggakan aku tak berani untuk membalas pandangan matanya.
“Jom kita sarapan di luar!”
“Kita?” Dia menunjukkan dirinya dan diri aku. Aku mengangguk. “Tak salah?” Seperti dia mahu mencari kepastian.
“Ya….kita!” Sememangnya aku tak tahu untuk berkata apa. “Rasanya, dah lama kita tak keluar bersama.” Ah, celuparnya mulut aku!
“Hmmm….” Dia mengangguk. “Tiga hari!” DIa tersenyum. Baru aku sedar, baru tiga hari aku merajuk dengannya sejak petang di tasik hari tu. Tiga hari juga dia tidak menghantar dan mengambil aku dari kelas. Tapi, kenapa aku terasa lama benar kami tidak bersua?
“Awak nak tak temankan saya sarapan kat gerai depan tu?” Aku menunjuk pada gerai Pak Samad di hujung jalan.
“Jom!” ujarnya senang bila aku kembali berbual dengannya. Kami menuju ke sana. “Awak nak makan apa?” tanya Annas bila kami sudah mengambil tempat duduk di hujung sekali. Aku meliarkan mataku melihat menu yang tergantung dan pada juadah pagi yang terhidang.
“Awak duduk sini. Biar saya yang ambilkan.” Dia bangun belum sempat aku beritahunya sarapan yang aku mahukan. Annas tiba bersama dua bungkus nasi lemak dan sepiring roti bakar berintikan ketam mayonis. Roti bakar diberikan padaku.
“Terima kasih,” ujarku perlahan. Seketika kemudian, pambantu Pak Samad muncul bersama dua cawan milo panas.
“Saya tak sukalah minum milo pagi-pagi.” Aku bersuara.
“Saya tahu, saya selalu perhati yang awak suka sangat minum indocafe.” Annas memandang aku. “Terlalu banyak kafein tak baik untuk kesihatan. Saya tengok awak pun macam orang tak bermaya saja.” Aku hanya menunduk. “Minumlah, itu bukan milo. Saya pesankan coklat panas untuk awak.”
Aku mendekatkan hidungku dengan cawan dan mengambil baunya. Benar, bau coklat panas. Aku sudah tersenyum.
“Awak suka coklat, kan?” ujarnya. Aku mengangguk. “Lia, awak dah tak marah dengan saya?” tanya Annas. Aku menghela nafas panjang. Aku bukan merajuk atau marah dengannya. Aku cuma mahu menjarakkan hubunganku dengannya. Selama ni, aku tak pernah rapat dengan mana-mana lelaki selain abang. Berdekatan dengan Annas seperti ini membuatkan aku merasa ingin dicintai dan mencintai. Sedangkan perasaan itulah yang mahu aku buang jauh-jauh.
“Lepas ni, awak boleh temankan saya?” Aku bertanya. Hari ni hari lahir Annas, aku mahu turut bergembira bersamanya meraikan hari berbahagia dalam hidupnya. Lepas ni, Annas akan kembali ke Jepun. Bila pula aku boleh berjumpanya lagi?
Annas tersenyum sambil menyudahkan nasi lemaknya. “Awak nak ke mana?”
“Entahlah….tiba-tiba saja hari ni saya rasa nak jalan-jalan, makan angin. Tapi tak tahulah nak pergi mana.”
“Awak nak pergi jalan-jalan di shopping mall?” tanya Annas. Aku menggelang.
“Saya kurang minatlah.” Aku memang tak minat jalan-jalan di shopping mall. Semak!
“Kita jalan-jalan di taman nak?” Annas memberi cadangan. Aku mengangguk.
_______________________________________
DAH lama rasanya aku tak menikmati matahari terbit di puncak bukit ini. Rasa segar pabila cahaya matahari yang baru muncul di celahan bukit mengena tepat ke tubuh ku. Aku memandang Annas di sebelah yang asyik tersenyum.
“Awak nampak ceria hari ni.” Dia memandangku.
“Sebelum ni?” tanyaku.
“Perlu ke saya jawab?” tanya Annas. Aku hanya tersenyum bagi membalas soalannya. Sebelum ni tentu sahaja kurang senyumanku bila adanya dia.
“Maafkan saya,” Aku tahu aku bersalah kerana sikap burukku pada Annas. Sungguhpun aku tahu perasaan asing muncul pada Annas, tapi aku tak berhak berbuat begitu padanya.
“Saya maafkan.” Dia berpusing dan duduk di bangku panjang di bawah pohon yang betul-betul menghadap matahari yang semakin mengintai di balik bukit. “Dah lama saya tak datang ke taman ni.”
“Bila kali terakhir?”
“Ketika arwah mak dan ayah masih ada.” Sayu hatiku bila mengenangkan satu persatu ahli keluargaku pergi meninggalkan aku. “Mereka kemalangan.”
Suasana sunyi seketika.”Nasib kita sama, Lia. Sebelum ni, awak hidup bersama dengan abang awak setelah orang tua awak pergi. Begitulah saya dengan Kak Liza. Kami hidup bersama dan membesar bersama. Sebab itu saya tahu bagaimana perasaan awak.”
“Kita tak sama. Awak masih ada Kak Liza. Saya sendirian!”
“Awak tak sendirian! Awak ada saya, ada Kak Liza! Kami akan selalu menjaga awak!”
“Terima kasih.” Aku tersenyum padanya.
Annas melangut ke atas. “Eh, ada layang-layang tersangkutlah!” Aku turut melangut memandang dahan pokok. Memang benar ada layang-layang yang tersangkut.
“Cantik!” Aku teruja. Layang-layang itu memang cantik coraknya.
“Awak suka?” tanya Annas. “Saya ambilkan.” Dia memanjat bangku dan memanjangkan tangannya. Tetapi tidak sampai.
“Tak payahlah, An! Jatuh nanti!” Aku menghalang. Dia tetap berdegil untuk mengambil layang-layang itu. Kali ini dia memanjat tempat sandar bangku itu pula sambil tangannya berpaut pada dahan.
“Sudahlah An! Turun!!”
Entah macam mana, mungkin dia tidak sempat mengimbangi badannya, Annas terus terjelepuk jatuh ke tanah. “An!!” Aku memang terkejut dengan situasi itu. Terus aku mendapatkannya yang sudah tertiarap di tanah.
Dia menyelak lengan baju T dan jeansnya. Ada luka kecil di kedua-dua sikunya. Kedua-dua lututnya sudah berdarah. “Itulah An! Saya cakap tak payah! Degil!” Aku mengeluarkan tisu dari dalam beg. Darah yang mengalir di kedua-dua lututnya aku sapu. “Jom kita ke kereta.” Aku mengajak Annas ke sana. Hanya di dalam kereta sahaja yang ada peti kecemasan.
Annas memegang bangku untuk bangun. “Bolehkah nak jalan ni?”Aku bertanya apabila melihat kepayahannya.
“Saya cuba.” Dia cuba untuk berjalan sendiri. Tetapi kerutan di wajahnya menunjukkan dia kesakitan. Mana tidaknya, kedua-dua lututnya sudah berdarah.
“Saya bantu awak, ya?” Memang aku ragu-ragu. Tapi nak buat macam mana. Nampak sangat dia tak boleh berjalan sendiri.
Annas meletakkan tangan kanannya atas bahuku sebagai sokongan. Aku memeluk pinggangnya dengan tangan kiriku. Perlahan-lahan kami bergerak hingga ke parkir. Aku membantu Annas duduk di kerusi kiri. Peti kecemasan di belakang ku ambil. Aku menyapu antiseptik dan kemudian membalut lukanya.
“Terima kasih, Lia.” Aku hanya membalas dengan senyuman.
Sebaik sahaja Kak Liza menghubungi aku. Aku memandu pulang ke rumah bersama Annas. Aku hanya tersenyum memerhatikan dia di sisi. Mungkin inilah hadiah terburuk sempena hari lahirnya.
Sampai di rumah, aku memapah Annas masuk.
“Surprise!!!” Kak Liza melompat di depan Annas. Walaupun aku tahu itu kejutan untuk Annas, tapi aku juga turut terkejut dengan sergahan Kak Liza.
“An!! Kenapa ni??!!” Giliran Kak Liza pula terkejut. Dia menerpa ke arah Annas dan membantuku membawa An hingga ke sofa.
“An jatuh sebab nak ambil layang-layang untuk Lia. Lia kata jangan tapi dia degil!!” beritahuku. Annas hanya tersenyum.
“An memang degil!!” Kak Liza mengerling.
“Tak de apa-apalah! Sikit je ni,” ujar Annas.
“Dah!!” Kak Liza bawakan kek harijadi Annas. ” Potong sekarang!!”
“Allah selamatkan kamu, Allah selamatkan kamu. Allah selamatkan Muhammad Annas. Allah selamatkan kamu.” Aku dan Kak Liza menyanyikan lagu selamat untuk Annas.
__________________________________________
SEDANG aku mengambil angin di laman sambil membelek majalah dengan diterangi cahaya di jalan, aku lihat susuk tubuh Annas baru keluar dari rumah Pak Lang. Bila dia melihat aku, dia terus menghampiriku.
“Lia tak tidur lagi?”
“Belum?” aku menggeleng. “An tak tidur lagi?” Dia menggelang.
“Tak boleh tidurlah.” Dia bersandar di kerusi.
“Lutut An dah baik?” tanya ku. Annas mengangguk. Kemudian dia bangun dan duduk di sebelah ku. “Kenapa Lia baca buku gelap-gelap macam ni? Tak elok.”
“Taklah. Lia cuma belek-belek je.”
“Lia suka coklat, kan?” tanya An seraya menghulurkan sepapan coklat Cadbury.
“An!” Aku tak sangka malam-malam begini An bawakan coklat. “Terima kasih.” Annas tersenyum.
“Boleh share tak?” Aku sudah hampir ketawa dengan usikan Annas.
“Buruk siku!” Annas hanya tersengih. Aku mengepak juga sebahagian untuk Annas. “An, Lia minta maaf sebab Lia tak belikan apa-apa untuk An. Sebenarnya, Lia tak tahu hari ni harijadi An.”
Annas hanya tersenyum sambil menggeleng. “Tak perlu hadiah! Bagi saya, kehadiran Lia di sini, sama-sama menyambut harijadi saya, dah terlalu bermakna buat saya.” Terharu aku mendengar kata-katanya.
“An nak apa sebagai hadiah?” tanyaku.
Annas ketawa. “Biar betul ni!”
“Betullah!”
Annas diam sekejap. “Kalau saya nak Lia?” Aku sudah terdiam mendengar permintaan Annas. Annas ketawa. “Saya gurau jelah!” Aku menghembus nafas kelegaan. “Saya mahu senyuman Lia sebagai hadiah!”
Aku memandangnya. Annas mengangguk. Kali ini dia tidak nampak seperti bergurau. “Saya mahu Lia terus gembira dan tersenyum Ketawa selalu! Lupakan segala perkara yang menyedihkan. Saya mahu Lia fikirkan setiap perkara yang membahagiakan. Saya suka dengan senyuman Lia.”
Entah kenapa aku rasa mahu menangis. Kata-kata itu nampak luhur dari hatinya. Kolam mataku sudah bertakung. “Lia!!” Annas mengalihkan badannya pada aku. “Saya bukan nak lihat Lia menangis. Saya nak lihat senyuman Lia!”
Aku mengesat setitis airmata yang sudah jatuh. Aku lemparkan senyuman buat Annas. Annas membalas dengan senyuman juga. “Lia cantik kalau terus tersenyum begini!”
Oh, Annas. Tahukah kau perkataan demi perkataan manismu itu mengguris perasaan wanitaku! Perasaan aku semakin berkembang padamu dan itu adalah satu kedukaan!
_______________________________________
Sejak hari itu, hubungan aku dengan Annas bertambah mesra. Tetapi aku selalu ingatkan diri agar membataskan perasaanku padanya. Biarlah perasaan yang sedang berkembang ini aku sembunyikan agar ianya tidak menjadi hempedu buat Annas. Yang penting bagiku, biarlah Annas hanya menganggapku sebagai teman atau adik, kawan dan sebagainya. Selagi dia tidak punya perasaan cinta, tak perlu aku khuatirkan itu.
Seperti biasa malam itu sebelum Annas ke rumah Pak Lang, aku akan berbual dengannya di laman. Tapi aku lihat kelakuan Annas agak aneh. Dia seperti orang yang bermasalah.
“Kenapa dengan An ni?” aku bertanya juga walaupun aku rasa aku tak perlu masuk campur urusannya. Annas mengerlingku sekilas. Dia membisu. Kenapa Annas terlalu berdiam diri hari ini? Tak seperti hari yang lain! “Ceritalah pada Lia kalau An ada masalah.” Aku memujuknya.
“Entahlah Lia. Sejak dua memenjak ni saya asyik berfikir tentang hal ni. Saya tak tahu apa yang perlu saya buat.”
“Kenapa An?” Aku menjadi khuatir dengan Annas.
Annas memandang aku. “Lia risaukan saya?”
“Tentulah! An terlalu bermakna buat Lia!” Entah macam mana kata-kata itu terlepas dari mulutku.
“Betulkah saya bermakna untuk Lia?” Aku membisu. Aku sudah terasa malu sendiri. “Lia juga bermakna untuk saya! Saya rasa, saya dah jatuh cinta dengan Lia.”Aku benar-benar terkejut. Aku terus memandangnya. Annas mengangguk. Dia tidak kelihatan main-main. “Lia cintakan saya?”
Perkara yang aku takutkan sudah berlaku. Aku tak sepatutnya menurut kata hatiku. Sepatutnya dari dulu aku menjauhi Annas. “Lupakan saya An!” Aku berdiri untuk masuk ke dalam. Aku lihat wajah Annas berubah hampa.
“Please, Lia. Fikir dulu!”
“Tak de apa yang perlu difikirkan An!”
“Saya cintakan awak Lia!!”
Aku terus masuk ke dalam meninggalkan Annas. Sejak hari itu aku mula menjauhkan diri darinya. Aku lihat Annas benar-benar tertekan. Maafkan aku Annas. Semuanya untuk kebaikanmu yang aku sayangi.
_____________________
LIMA belas hari lagi Annas akan berangkat semula ke Jepun. Tak sangka dalam tempoh beberapa hari sahaja dia di sini seluruh hidupku dan hidupnya berubah. Aku tahu aku telah melukakan perasaan Annas apabila aku menjauhkan diri darinya. Kak Liza juga sudah memujukku berkali-kali. Aku tahu dalam masa yang sama, Kak Liza turut merasai perasaan adiknya yang terluka. Tapi aku melakukan ini demi kebahagiaan mereka yang aku sayangi.
Aku berdiri di depan cermin. Tudung yang sering menutup rambutku aku buka perlahan-lahan. Airmata aku menitis lagi. Aku meyelak rambutku yang sudah jarang. Bergumpal rambut melekat ditanganku. Mereka tidak pernah tahu apa yang aku alami kerana aku sering merahsiakannya. Tudung ini membantuku menutup kelemahanku.
Aku ke meja tulis dan mengambil buku notaku. Aku mencarit rahsia hidupku.
Assalamualaikum….
Buat insan yang saya sayangi pertama dan selamanya, Annas ….
Annas, maafkan saya kerana sering melukan perasaan awak. Sungguh dari hati saya, saya juga terluka melihat diri kesakitan awak. Tapi saya terpaksa, sayangku. Saya tak mahu awak menanggung apa yang ditanggung oleh Kak Liza.
Annas, jujurnya saya juga menyintai awak. Cinta yang tulus jauh dari lubuk hati saya. Pertama kali melihat awak, saya sudah merasakan perasaan itu. Tapi saya tak sangka awak juga miliki perasaan yang sama. Walaupun hati kita bersatu dengan perasaan yang sama, tapi saya tak mungkin membiarkan ianya bersatu. Cinta itu bukan milik kita.
Annas, saya mewarisi penyakit yang ditanggung abang. Leukimia. Seminggu selepas abang pergi, saya sudah tahu tentang itu. Maafkan saya sebab merahsiakannya. Saya tak mahu menyusahkan awak dan Kak Liza lagi. Saya tahu, awak dan Kak Liza sudah berat menanggung segala derita. Biarlah derita ini saya tanggung sendiri.
Di saat awak baca surat ini, mungkin saya dah tiada lagi…….
Belum sempat aku menghabiskan penulisanku, kepala aku sudah berdenyut-denyut. Dia datang lagi. Ini bukan yang pertama kali aku merasa kesakitan ini. Aku meraba-raba mencari botol ubatku. Namun belum sempat aku temui, pandanganku sudah kelam…..dan….
_____________________________________
AKU membuka mataku. Kepalaku yang sedikit pening aku picit. Perlahan-lahan aku menangkat badanku dan bersandar di katil. Aku berada di atas lantai. Apa yang berlaku? Aku cuba mengingati apa yang berlaku. Bila semuanya aku ingat, aku menangis lagi. Aku melirik jam di dinding. Sudah pukul tiga pagi.
Aku kembali duduk di kerusi dan menulis semula warkah yang akan ku tinggalkan buat Annas.
Di saat awak baca surat ini, mungkin saya sudah tiada lagi. Tapi simpanlah sedikit ingatan pada saya. Saya sangat bertuah kerana hidup disamping awak dan Kak Liza. Awak masih ingat tak, ketika kita berbual tentang cita-cita? Memang saya bercita-cita untuk menjadi ahli perniagaan. Tapi awak tahu tak cita-cita yang lebih besar yang saya simpan jauh dalam lubuk hati saya? Saya pasti setiap wanita di dunia ini punya cita-cita yang sama. Saya pernah mendengar satu ceramah yang mengatakan, seorang isteri juga layak menjadi bidadari syurga buat suaminya. Dan itulah yang paling saya impikan dalam hidup ini. Saya mahu jadi bidadari dunia buat insan yang bernama suami dan sekaligus menjadi bidadari surga buatnya. Tapi Allah tak mentakdirkan itu buat saya. Saya pasrah.
Titipkanlah doa buat saya dan keluarga. Mungkin saya tidak boleh menjadi bidadari syurga, tapi sedekahkanlah Al-Fatihah agar saya dan keluarga dijauhi dari api neraka. Saya tidak punya sesiapa lagi di dunia ini untuk menyedekahkan doa. Begitu juga keluarga saya. Hanya awak dan Kak Liza yang saya ada.
Salam sayang dari saya- Annur Dahlia
Usai menyudahkan warkah itu, aku selitkan dalam diari. Satu saat bila aku sudah tiada, pasti Kak Liza atau Annas akan menemui warkah ini.
“Ya Allah, lindungilah dan limpahkanlah rahmatMU pada Annas dan Kak Liza. Sungguh, aku tak punya apa-apa untuk membalas jasa mereka selain memintanya dariMU, Ya Rabb…”
_____________________________________________________________________________
TINGGAL sepuluh hari sahaja lagi sebelum Annas pergi dari sini. Petang itu aku ke taman dengan menaiki teksi. Aku mahu bersendirian. Sejak beberapa hari ini, kesihatan aku semakin buruk. Sudah dua kali aku pengsan. Mujurlah semuanya berlaku ketika aku bersendirian di dalam kamar. Sebelum ini aku hanya sakit-sakit kepala belum pernah aku pengsan.
Aku tahu, dihujung nafas abang dia mengalami perkara yang sama. Dia kerapkali tidak sedarkan diri. Mungkin aku kini berada di fasa awal untuk berada ditahap itu. Selepas ini, aku juga akan kerap tak sedarkan diri. Kala itu, tiada lagi yang perlu aku rahsiakan. Aku hanya bermohon agar semua yang bakal berlaku akan berlaku setelah Annas tidak lagi berada di sini.
“Lia!!” Satu suara berteriak memanggil namaku. Aku berpaling. Kak Liza terus meluru dan memeluk aku. Aku terpinga-pinga. Dia menangis teresak-esak. Ya Allah, apa yang sedang berlaku.
“Kenapa kak? Apa dah jadi?” Aku benar-benar khuatir dengan keadaan Kak Liza.
“Sampai hati Lia tak beritahu akak!”
“Kenapa kak?” Sungguh aku tak memahami maksudnya.
“Kenapa Lia rahsiakan dari akak?!” Kak Liza menunjukkan surat yang aku tulis. Ya Allah, bagaimana surat ini berada ditangannya. “Akak jumpa ni dalam bilik Lia!”
“LIa…..” Aku kehilangan kata-kata.
“Akak ingatkan Lia anggap akak macam kakak kandung Lia! Sampai hati Lia buat akak macam ni!” Esakan Kak Liza sudah berlarut padaku. Aku juga tak dapat menahan perasaan hati ini.
“Maafkan Lia, kak.” Aku merayu padanya.
“Kalau Lia nak akak maafkan Lia, Lia kena tunaikan satu permintaan akak!” Aku mengangguk. Aku akan lakukan apa sahaja demi insan mulia di depanku ini. “Akak mahu Lia berkahwin dengan Annas!”
Terpempam aku dengan keinginannya. “Lia takkan hidup lama kak! Jangan minta perkara yang bukan-bukan! Lia tak layak untuk Annas!”
“Permintaan akak adalah untuk menunaikan keinginan Lia dan Annas.” Kak Liza berkeras.
“Jangan kak! Kasihan Annas. Dia berhak mendapat kebahagiaan yang lebih! Kebahagiaannya bukan dengan Lia!”
“Annur Dahlia…..” suara Annas menyapaku. Susuk tubuh Annas bersandar di pohon. Kak Liza pergi dari situ untuk memberi ruang pada Annas berbual denganku. “Kenapa awak rahsiakan?” Annas duduk di sebelahku. Aku membisu.
“Cinta kita tak boleh bersatu An.”
“Mungkin di syurga nanti. Awak mahukan cinta kita bersemi lagi…..di sana?” Dia menunjuk di langit.
“Allah tak memberi kesempatan itu pada saya!” Airmata ini semakin mencurah-curah. “Carilah kebahagiaan awak. Kak Liza juga! Lupakan saya dan abang! Cari kebahagiaan kalian!”
“Lia….saya mahu dengar dari mulut awak sendiri. Apa cita-cita terbesar dalam hidup awak?” Kolam mata Annas juga sudah bertakung. Aku menggelang. “Tolonglah Lia…..tolonglah…..”
“Setiap wanita, isteri di dunia ini yang ikhlas mencintai suaminya setulus hati pasti mahu menjadi bidadari syurga buat mereka. saya juga menyimpan impian begitu, An.”
“Kalau begitu, bersetujulah untuk menjadi isteri saya,” Annas menghulurkan sebentuk cincin padaku.
“An, masa depan awak masih jauh. Hargai kehidupan awak. Jangan terlalu mengikut perasaan!” Hatiku semakin sayu. “Saya tak mungkin dapat tunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri.”
“Sungguh, saya memang tak tahu sama ada saya layak ke syurgaNYA atau tidak. Tapi, saya juga punya impian yang sama. Saya mahu awak menjadi bidadari syurga buat saya nanti, di sana. Awak tak perlu laksanakan tanggungjawab awak jika tak mampu. Dunia ini hanya sementara. Perjalanan yang kekal adalah kembali padaNYA.”
“Tapi An….”
“Lia! Saya sangat menyintai awak. Saya menyintai awak setulus hati saya. Saya tak mahu cinta kita berakhir seperti ini. . Biar kita terpisah di dunia yang fana asal di sana nanti cinta kita bersatu semula. Jadilah isteri saya. Hanya dengan menjadi isteri saya, cinta kita akan bersatu lagi.”
Aku tidak tahu untuk berkata apa-apa. Apa yang aku rasakan, akulah insan paling bertuah dalam dunia ini. Biarpun aku kehilangan seluruh keluargaku tetapi Allah mengurniakan dua insan yang sangat menyayangiku. Terima kasih Ya Allah atas kasih sayangMU.
Aku mengangguk setuju. Annas tersenyum dengan linangan airmata lelakinya. “Terima kasih, Lia. Biarpun tempoh kita bersama terlalu singat dan akan menjadi semakin singkat. Saya akan sentiasa berdoa cinta kekal selamanya hingga ke syurga.”
Hatimu…Hatiku….Menjadi satu cinta….
Ku rasa hadirmu menyempurnakan aku….
Tapi….cinta bukan milik kita…
Semua….harus berakhir…
Cinta kau dan aku…..Takkan mungkin bersatu….
Untuk saat ini, di dunia ini….
Mungkin kita bersama….Nanti di atas sana ….
Biarku setia menjaga cintamu….
Selamanya..