Setiap kisah dan cerita ini adalah hasil nukilan penulis sendiri dan koleksi cerpen yang terdapat di dalam simpanan yang ditulis oleh penulis lain. Setiap cerita adalah hak milik penulis dan sebarang ciplak adalah tidak dibenarkan. Cerpen ini aadlah untuk koleksi simpanan dan bahan bacaan sahaja.

Thursday 21 June 2012

BILA HIDAYAH MENYAPAKU


(sumber: TemanHidup@yahooogroups.com)

Kenangan itu masih mengimbau kotak mindanya. Masih menjadi teman setia kepada mimpinya yang enggan pergi pada dinihari yang kedinginan itu.

"Adakah engkau melihat orang yang mengambil nafsunya menjadi Tuhannya dan Allah menyesatkannya kerana mengetahui (kejahatan hatinya) selepas didatangi ilmu kepadanya." ( Jatsiyah:23)

Mengapa dia masih berperasaan sedemikian sedangkan telah diusir perasaan itu dari dalam dirinya sejak lama dahulu? Hidupnya kini telah dibebaskan dari perasaan yang membelenggu jiwanya itu. Perasaan serba salah dan dosa yang amat. Kenapa kenangan itu harus kembali semula?

Dan dia cuba untuk memadam memori silam namun kisah itu bagaikan berterbangan di kotak matanya yang hampir berair.

5 tahun lepas..

"Awak, awak sanggup tak buat apa sahaja untuk saya?" Harman dengan lembut bertanya, sambil membelai rambutnya yang bertebangan dek angin yang melambai.

"Hurrm.... Apa dia? Banyak dah saya buat untuk awak ini," dengan senyuman manja dia membalas.
Ya, apa lagi yang dia tak buat untuk Harman. Segala-galanya akan diserahkan buat pujaan hatinya itu. Harman Haji Khalid. Pemuda idaman yang menjadi siulan rakan-rakan di kampusnya. Pemuda tinggi lampai berbidang sasa. Lesung pipinya menjadi pelengkap kepada wajahnya yang sudah setia tampan. Dengan sedikit kumis di dagunya, Harman mempu menggetarkan sekilas pantulan mata wanita. Dan Harman adalah miliknya! Siapa yang tidak berasa bertuah mendapat jejaka itu. Apa sahaja untukmu Harman akan kutunaikan!

"Saya tahu. Saya tahu awak sanggup buat apa sahaja untuk saya. Tapi itulah, permintaan ini agak berat sikit. Tak taulah awak sanggup tak nak buat,"

Adlina mula berkira-kira sendiri akan permintaan Harman. Kadang-kadang dia sendiri keliru dengan dirinya sendiri. Dia tahu apa yang dilakukannya adalah salah. Duduk berdua-duaan di tempat sunyi sambil bersentuh-sentuhan. Tapi dia tak mengerti kenapa dia sangat suka buat perkara itu. Dia merasakan kebahagiaan tak terhingga bersama Harman. Hidupnya terasa berbunga-bunga penuh makna. Hari-hari dia bernyanyi riang sepulangnya dia pulang keluar bersama Harman sehinggakan adik beradiknya lali dengan suara sumbangnya menyanyi-nyanyi di dalam bilik air.

Kadang-kadang bisikan hatinya menghembus udara suci, minta dirinya untuk berhenti sejenak dan berfikir. Kadang-kadang dia membuka mahkota agungnya di hadapan Harman.Harman teringin melihat kecantikannya. Kecantikan yang sepatutnya dinikmati oleh mereka yang berhak. Namun Harman berjanji padanya jika ada rezeki mereka akan berkahwin. Dia tahu Harman takkan menipu. Harman terlalu baik untuk menipu.

Allah akan ampunkan dosaku, bisiknya. Dia bukan tak nak kahwin. Cuma masanya belum lagi. Dan dia pasti, pintu taubat itu sentiasa terbuka. Allah akan ampunkan dosa-dosanya. Lagipun dia masih solat dan bertudung di hadapan orang lain.

"Cakaplah sayang, apa dia?"

Perlahan-lahan Harman meramas tangannya dan memegang kejap kedua belah tangannya. Jantungnya berhenti berdegup. Kadang-kadang Harman gemar membuat aksi-aksi romantis, dan dia sangat rasa dihargai apabila Harman melayannya sebegitu.

"Adlina permata hati saya, sudikah Adlina menjadi pemaisuri rumah tangga saya? Yang akan mewarnakan hari-hari saya dan menjadi ibu kepada anak-anak saya?"

Dia gumam. Terkesima. Antara gembira dan teruja. Dia tak mampu berkata apa-apa. Ada manik-manik yang hampir jatuh di pipinya. Perasaannya terlalu gembira tetapi tiada kalimah yang dapat mengucapkannya.
"Tapi Adlinaku sayang, boleh tak saya nak minta sesuatu dari awak?"

Dan dia membiarkan Harman berbisik halus di celah rongga telinganya. Matanya bulat tatkala Harman habis berbicara. Diketap kedua bibirnya. Keliru dirasakan dirinya ketika itu. Dia masih belum boleh berkata-kata sambil merenung bebola mata Harman yang berharap.

Lama ditenung mata hazel jejaka yang menjadi pujaan ramai itu. Mata itu mampu mencairkan hati perempuan-perempuan yang lemah.

Dan akhirnya dia mengangguk setuju...



"Tolong aku Azia! Tolong aku! Dia nak orang lebih 21 tahun untuk kasi kebenaran aku buat operation tu!"

"Yang kau buat kerja tu sape suruh. Kau tak ingat Tuhan ke? Tak ingat dosa pahala? Kau tak ingat kat mak ayah ke? Pastu kau nak heret aku untuk tolong kau?"

" Jangan macam tu Azia, aku perlukan sangat pertolongan kau sekarang ni. Kau jangan tambahkan lagi masalah aku!"

Adlina menangis teresak-esak di peha kakaknya. Dia rasakan empangan air matanya telah pecah. Dia sangat bingung ketika itu dan tiada siapa lagi yang boleh diminta pertolongan melainkan kakak kandungnya sendiri.

" Aku tahu kau sayangkan Harman tu. Tapi dia yang harus bertanggungjawab ke atas kau. Aku bukan tak nak tolong kau tapi aku nak dia bertanggungjawab!"

" Azia! Dia tak ngaku tu anak dia. Dia dah tinggalkan aku dah! Dia tu memang tak guna! Jantan miang! Pergi jahanam dengan dia!" Adlina terus menerus menangis sambil menjerit-jerit kepada kakaknya. Mujurlah dia berada di flat kakaknya yang tidak berpenghuni. Dihentak-hentak bantal yang berada di sofa ruang tamu.

Dia berasa dunianya gelap. Dia harus gugurkan kandunganya itu! Dia mesti! Tapi dia masih di bawah umur. Cuma kakaknya sahaja harapannya untuk dia mendapat tanda tangan keizinan untuk melakukan pengguguran itu. Tanpa tanda tangan itu, tiada klinik yang akan menerimanya untuk dibedah.

"Ok. Begini. Aku sanggup tolong kau. Tapi dengan satu syarat." Kakaknya menarik nafas berat. Seolah-olah mahu memberi amanah besar di pundaknya.

Kakaknya menyambung, "Aku nak kau tinggalkan universiti itu dan apply untuk study di overseas. Aku nak kau tinggalkan Harman itu. Aku tak mampu nak tanggung kau ke sana. Mak abah tak boleh tahu pasal benda ini. Aku tak nak kau menyebabkan mereka tak mengaku kau sebagai anak mereka. Kau ada otak pandai, aku rasa kau akan dapat tempat tu. Bila kau tinggalkan universiti itu, kau jangan beritahu sesiapa pun kau akan ke mana. Aku tak nak kawan-kawan kau cari kau. Aku nak Harman betul-betul lenyap dalam hidup kau!'



Dia masih ingat pada malam hujan renyai di mana kakaknya Azia memberi ceramah yang panjang lebar dalam mencorakkan masa depannya. Dirasakan hidupnya ketika itu kelam dan gelap, segelap batu hitam di malam hari. Tetapi kakaknya memberikan sinar harapan baginya.

Dia berjaya mengugurkan kandunganya yang baru berusia 5 minggu itu. Itulah dosa besar paling dahsyat pernah dilakukannya setelah dosa yang dilakukan saat dia menunaikan permintaan Harman untuk menjamah tubuh yang tidak halal baginya. Mengapa dia begitu bodoh melakukan pekerjaan terkutuk itu?
Allah cintakan dia! Itu dia sangat pasti kerana Allah masih menyelamatkan dia! Setelah apa yang telah dia lakukan Allah masih sayangkan dia!

Dan kini dia melalui kehidupan yang bersih, sebersih bayi yang bahu lahir. Dia bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya.

"Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak berdosa lagi" (Hadis)

"Adlina, akak nak tanya ni....,'

Kak Rahmah yang menjadi penjaganya di bumi kangaroo itu menyapanya mesra setelah melihatnya begitu lama mengelamun. Dia berada di rumah Kak Rahmah ketika itu kerana ada kuliah ilmu di situ.
"Adlina sudah bersedia untuk berumah tangga?"

Terkejut dan terperanjat, dia tunduk menyepi. Dia merasakan air matanya mahu gugur dan hatinya dirasakan mahu pecah. Namun digagahkan juga hatinya. Bagaimana mampu dia menjawab persoalan itu sedangkan dirinya itu kotor dan jijik? Lebih dahsyat dari bangkai anjing yang dicampakkan ke dalam lombong najis? Manakan boleh aku hidup bersama dengan manusia yang tidak pernah ada noda dalam dirinya?

"Sesungguhnya taubat yang dapat diterima oleh Allah untuk orang-orang yang mengerjakan kejahatan kerana kejahilan, kemudian mereka bertaubat dalam masa yang dekat" ( Nisa:17)

Lama dia menunduk. Tiba-tiba dia merasakan ada sentuhan lembut di bahunya.

'Lina, akak minta maaf jika pertanyaan akak mengguris hati Lina. Akak tidak tahu yang Lina belum bersedia. Walaupun Lina masih belum menceritakan pada akak tentang perkara yang sentiasa menghantui diri Lina, tapi akak sangat harap Lina akan dapat melupakan kisah itu. Allah itu maha menerima taubat. Dia mendengar doa hamba-hambaNya. Akak yakin, sebesar manapun dosa Lina pada Dia, Dia akan ampunkan Lina.'

Dia mengangguk lemah. Dalam hatinya tidak putus–putus beristighfar agar dikuatkan hatinya.

'Akak dan suami akak cuma risaukan Lina sahaja. Hidup di negara bukan Islam ini banyak dugaannya. Cabaran datang dari pihak bukan Islam mahupun ya.'


Lina mendengar kata-kata Kak Rahmah dengan penuh cermat. Walaupun persoalan perkahwinan adalah persoalan yang tidak mampu difikirkannya sekarang, namun dia tahu, semenjak mengenali Kak Rahmah, Kak Rahmah hanya berbicara jika perkara itu penting dan masanya sesuai sahaja.

Adlina sedar, dia telah banyak berubah semenjak datang ke situ. Tudungnya mula bertutup kemas. Pergaulannya sangat terjaga. Banyak ilmu-ilmu Islam yang dipelajarinya di situ. Malah dia benar-benar merasakan nikmatnya Islam itu apabila di datang ke bumi orang putih ini.

Dia sedar dia perlukan teman hidup yang kuat untuk menyokongnya untuk kekal berterusan di atas jalan ini. Yang mampu membimbingnya tanpa kebosanan mengenal penciptaNya dan beramal dengan sunnah NabiNya.

'Akak harap Lina sudi memikirkan perkara ini. Terpulang pada Lina untuk membuat pilihan. Pemuda itu sendiri tidaklah sempurna juga. Dia turut mengalami pengalaman yang serupa dengan Lina. Tapi, dia sudah pun bertaubat dari dosa-dosa silamnya. '

Lina mengangkat muka dan merenung Kak Rahmah penuh kaget. Mana akak tahu? bisik hatinya.
'Usah risau Lina, tiada siapa yang memberitahu kami. Cuma kami rasakan sahaja. Sudah ada seorang yang seperti Lina juga tapi alhamdulillah, di sini dia menemui cahayaNya.'

Adlina berfikir lama sambil menatap kosong ke sisi ruang tamu rumah Kak Rahmah. Teman-temannya sudah lama pulang. Sengaja Kak Rahmah minta dia pulang lewat hari itu.

' Jika Lina dah buat keputusan, nanti datanglah rumah akak minggu hadapan. Insyaallah dia akan datang juga untuk hadiri pengajian dengan suami akak. Dia pemuda yang paling baik akhlaknya pernah akak lihat. Tak pernah tinggal kuliah ilmu dan tidak pernah tinggal solat jemaah subuh di masjid.'

Adlina tersentak sejenak. Layakkah aku untuk pemuda itu? Manakan sama aku dengan dia! Adakah mampu aku memelihara cintaMu Ya Rabb di saat aku memiliki seorang lelaki dalam hidupku? Adakah aku tidak akan melupakanMu dan meninggalkan jalanMu di saat aku sudah berteman nanti?

"Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, ataupun perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai dari Allah dan rasulNya dan berjihad di dalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya' ( Taubah: 24)

Dia sudah serik dikecewakan manusia dan dia pernah membenci lelaki dengan kebenciannya yang kesumat. Namun dia sedar dia tak boleh menyimpan perasaan itu. Allah menciptakan manusia itu berpasang-pasangan. Tidak boleh kerana seorang pemuda dia membenci keseluruhan lelaki di atas dunia!

Tapi dia tidak mahu lagi terlalu menyintai manusia! Mereka membuatkannya kecewa!

'Perkahwinan itu seharusnya memberi kekuatan dan sinergi kepada individu dalam rumah tangga itu, bukan melemahkan. Jika isteri leka suami mengingatkan, jika suami lalai isteri menyedarkan. ' begitulah kata-kata Kak Rahmah di saat kami berbicara tentang perkahwinan dengannya.

Di saat itu, hawa dingin semula jadi menerobos ke dalam bilik sepinya, menggigilkan tubuh badannya. Di saat hening itu dia merasakan Allah sangat dekat dengan dirinya, lantas dia menadahkan tangannya ke langit sambil memohon:

" Ya Allah, jika benar dia pilihan terbaik untukku, maka tunjukkanlah aku jalanMu dan janganlah Kau palingkan cintaku dariMu."

Dia mendengar suara kekecohan berada di rumah Kak Rahmah. Bagaikan ada kenduri yang kecil. Kak Rahmah kata ada majlis ilmu, bukannya majlis makan-makan. Mungkin ramai orang barangkali, fikirnya.

Di saat dia masuk, ramai orang lelaki sudah mula beredar dari ruang tamu rumah Kak Rahmah itu. Tersipu-sipu dia bergegas ke ruang dapur untuk menemui Kak Rahmah. Segan dia kepada lelaki bukan ajnabi.
Kak Rahmah memeluknya dengan penuh kehangatan, menghilangkan hawa sejuk yang dialaminya di saat kedatangannya ke rumah itu.

'Ibu, mari sini ibu. Bawa Lina sekali,' Kedengaran suara Abang Hakim memanggil isterinya dari luar.

Kak Rahmah menarik tangan Lina dan di bawanya ke ruang tamu. Lina terlihat susuk tubuh yang agak dikenalinya duduk bersimpuh sopan di sisi Abang Hakim. Pernah aku lihat pemuda ini, dia berkira-kira. tapi di mana ya? Fikirannya pantas memikirkan. Dia cuba untuk mencuri-curi pandang ke arah lelaki itu namun lelaki itu juga tunduk statik menghadap lantai rumah.

Lina dengan mata tertunduk duduk di balik Kak Rahmah. Dia memang agak kekok berada dalam suasana begini. Apatah lagi dalam majlis yang sebegitu.

'Adlina Malik. Kenalkan, ini calon suamimu, Harman Haji Khalid.'

Di saat itu, dua insan di bilik itu mengangkat wajah masing-masing sambil merenung tajam antara satu sama lain. Ada makna di sebalik pandangan itu. Ada jawapan yang mahu diselidiki tapi suara mereka seolah-olah tenggelam di balik bunyian heater yang memanaskan ruangan di bilik tamu itu.

Kak Rahmah dan Abang Hakim mungkin menjadi insan paling hairan melihat mereka di tika itu.....

ABANG TUNGGU MAK DI SYURGA!


Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.

Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.

Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.

Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.

Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.

Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.

"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"
Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.

Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.
Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"
Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.

Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.

Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.

Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.
Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu?

Petang itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir tentang soalan mereka itu. Mak tak tahu nak jawab macam mana. Kemudian, mak nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang tamu.

Lantas mak capai diari kecil itu. Di dalamnya tercatat peristiwa yang berlaku sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan abang.
Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya.

Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.

Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari.
Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis? Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.

Januari 2011- Perut abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman abang sudah rosak,sudah 'reput'. Tak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk abang.

26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah!

Hah Hah.. Tergelak mak.Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah,
Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur, tapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang abang minta.
Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti.
Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.

7 Mac 2011- Keadaan abang makin kritikal. Perut abang semakin besar. Abang tak mampu nak bergerak, lebih banyak terbaring dan asyik sesak nafas. Mak tak tahan lihat keadaan abang.
Mak bawa abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi.
Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan. Mak redha. Dalam hati mak juga sudah berkata, masa abang tidak lama lagi.
Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan abang? Mak jawab: "InsyaAllah, abang akan sihat!"
Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tak mahumereka semua lemah semangat jika mereka tahu abang sudah tiada harapan lagi.
Mereka pun sama, masing-masing bertarung dengan ujian apabila anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri telan.

13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan abang.
Di rumah, setiap hari mak akan tanya: "Abang nak apa harini?"
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab: "Mak, abang nak naik kereta bomba!"

Mak termenung dengar permintaan abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana? Mak jawab: "Balai bomba!"
Sampai di situ, mak minta izin pegawai bomba. Mak kata, abang teringin nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala.
Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju abang ke paras dada. Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu: "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!"
Bila lihat perut abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus diacapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu.
Dia dukung abang, letakkan ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembiru sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Abang tak perasan, mak palingkan muka lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi: "Abang nak apa?"
Abang jawab: "Abang nak naik lori sampah!"
Mak dukung abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?"
Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju abang dan beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka.
Segera mereka angkat abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup lihat abang lama-lama. Sedih agaknya.
Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Abang kalau nak tengok gajah, mak bawa abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa. Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung abang.
Abang kata nak tengok burung, mak bawa ke taman burung. Abang kata nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja abang nak peri,semuanya mak tunaikan!
Setiap hari juga mak tanya abang nak makan apa. Macam-macam abang teringin nak makan. Martabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung, rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikanwalaupun makanan itu abang pinta pada pukul 3.00 pagi!
Apa saja yang teringin oleh tekak abang, semua mak cari walaupun abang sekadar menjamahnya sesudu dua. Apa saja abang pinta, kami tunaikan.
Mak tahu, mak faham, masa abang bersama mak dan abah semakin suntuk!

27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Nak bercakap pun terlalu lemah, apatah lagi untuk bergerak. Mata kuyu, hanya terbaringsambil memeluk Aina, anak patung kesayangan abang. Mak ajak abah bawa abang ke hospital.
"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!"
Itu kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.

5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama kakak yang sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan kakak pulang.
"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!"
Itu kata-kata mak pada cikgu dan akak diizinkan pulang pada hari ini. Kemudian, Dr. Adura. , doktor yang sinonim merawat abang datang melawat.
Mak memang rajin bercerita dengan Dr. Adura. Kebetulan mak ceritakan yang mak terkilantak dapat tunaikan permintaan abang mahukan kek berbentuk lori sampah.

7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk abang tengah hari ini.
Rupa-rupanya, tengah hari itu datang tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura membawa kek lori yang abang mahukan sebelum ini.
Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sanka, Dr Adura tulis di dalam blognya kisah abang dan ramai yang mahu menyediakan kek yang abang pinta.
Sekali lagi, para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk abang. Tapi abang kurang ceria, wajah abang tampak letih dan nafas abang turun naik.

8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tapi abang sekadar lemah. Abang sekadar terbaringmerenung kek itu.
Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah abang, bacaanya meningkat naik. Tapi hati mak dapat rasakan abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan abang di dalam bilik.
Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah abang, mak peluk dan usap rambut abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.

Dalam tangis itu, mak katakan pada abang: "Mak tahu abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu abang nak pergi.
"Jangan tahan-tahan abang. Pergilah. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa saja hajat yang abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan abang dalam hidup mak walaupun seketika!"
Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Dan mak berjanji tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia
Abang pada tahun 2007.

9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat abang dah kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak, tercungap-cungap menarik nafas.
Abang dah tak mampu bercakap lagi sejak malam tadi. Makan minum pun tak mahu. Pakul 8.00 pagi, abah dan kakak sampai.
Mak suruh kak long bacakan Yaasin di sebelah abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.
Pukul 3.00 petang, abang makin lesu. Lantas mak ajak abang keluar berjalan-jalan.
"Abang, nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"
Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi abang hanya minum seteguk. Kemudian, abang lentukkan kepala pada bahu mak.
"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak taj sinar matahari tu? Cantikkan?"
Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu.
Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.
"Abang ngantuk!" Itu kata abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak.
Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang.

"Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja."
Mak tahu, masa abang sudah hampir tiba!
Sampai di wad, mak baringkan abang atas katil. Dan abang terus merintih dalam nada yang lemah: "Makkk..sakit perut..!"
Dan abang terus memanggil: "Makkkkk!". Suara abang perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi abang.
"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan abang pergi. Mak halalkan segala makan minum abang. Mak halalkan air susu mak untuk abang. Pergilah abang. Mak izinkan abang pergi!"

Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalammata abang yang semakin kuyu. Saat abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup abang selagi abang masih bernafas. Mereka kucup pipi abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.
"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu abang dengar kamu menangis! Jangan seksa abang dengan tangisan kamu!"
Mak marah mereka buat begitu pada abang. Mak tak mahu abang lihat kami menangisi pemergian abang. Mak tahu, abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput abang.

Mak tak mahu tambahkan lagi kesedihan abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya.
Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.

"Pergilah abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah..!" Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...

Pukul 3.50 petang, akhirnya abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillah... Mak kucup dahi abang. Mak bisikkan di telinga abang: "Tenanglah abang di sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"
Abang, sekarang mak dah dapat jawapanyya. Mengapa mak tidak menangis?
Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti.

Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak.
Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk abang.

Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi abang dan menggembirakan abang setiap saat dan waktu.
Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan.
Mak telah beri segalan-galanya melebihi 100% untuk abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tak perlu menangis lagi.

Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa abang ta[i... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar.

Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahan seawal usai dua bulan dan ada antara pembedahannya gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidka lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).